Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nizar Zakaria gantikan Shahidan dalam JK wanita
Diterbitkan:  Jan 14, 2021 7:40 PM
Dikemaskini: 11:40 AM

Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria akan menggantikan Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim sebagai anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial.

Perkara itu disahkan oleh Shahidan sendiri yang mengatakan kedudukannya dalam jawatankuasa itu hanya bersifat sementara. Shahidan berkata tidak ada sebab untuk dia berada dalam jawatankuasa berkenaan kerana dia sudah berada dalam jawatankuasa lain.

"Saya dah ada dalam dua jawatankuasa. Buat apa banyak-banyak?

"Sebab saya dipanggil mesyuarat. Saya tidak tahu. Mereka tak membuat perubahan," katanya seperti dipetik oleh Malay Mail.

Lantikan Shahidan yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional dalam jawatankuasa berkenaan dipertikai banyak pihak selepas namanya dinyatakan dalam senarai.

Ini selepas mengambil kira tuduhan terhadap Shahidan yang didakwa pernah mencabul seorang remaja perempuan di dalam keretanya pada Oktober 2018.  

Remaja berusia 15 tahun itu menarik balik laporan polis terhadap ahli politik itu setelah bapanya mengatakan perkara itu telah "diselesaikan secara baik".

Shahidan menafikan dakwaan itu.

Dia juga dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kangar selepas pihak pendakwaan tidak berhajat meneruskan kes kerana mangsa tidak mahu disoal dan tidak mahu meneruskan kes.

Jawatankuasa dwipartisan itu semalam melantik anggota parlimen Pengerang Azalina Othman sebagai pengerusinya.

Anggota lain jawatankuasa itu ialah Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan), Che Alias Hamid (PAS-Kemaman), Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) dan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan).

Sementara itu, Shahidan sekali lagi menegaskan dia berada dalam jawatankuasa itu secara sementara kerana tiada wakil PN ketika PSC ditubuhkan pada peringkat awal.

"Saya masuk ketika belum ada wakil PN," katanya.

Lihat Komen
ADS