Umno Kelantan mahu LPT hingga ke sempadan Thailand
Umno Kelantan mahu projek Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dipanjangkan melintasi negeri Kelantan hingga ke sempadan Thailand bagi memajukan koridor raya Pantai Timur.
Umno Kelantan mahu projek Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dipanjangkan melintasi negeri Kelantan hingga ke sempadan Thailand bagi memajukan koridor raya Pantai Timur.
Pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa berkata, cadangan projek LPT itu termasuk dalam 10 resolusi yang dirumuskan dalam konvensyen Majlis Kemajuan Kelantan (MKK) kedua baru-baru ini.
"Resolusi 10 perkara itu telah diserahkan kepada Perdana Menteri ketika melawat negeri itu selama dua hari mulai 20 Ogos lalu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penubuhan cawangan baru Umno Kampung Panggong Tiga Daerah di Pasir Putih.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kok Lanas berkata LPT yang kini hanya setakat daerah Besut di Terengganu sahaja wajar disambung untuk kebaikan rakyat Kelantan.
Katanya ini penting untuk memajukan koridur raya Pantai Timur dan bertepatan dengan cadangan pembinaan Universiti Terengganu Darul Iman di Besut dan Universiti Kelantan Darul Naim di Bachok.
Menurut laporan Bernama, resolusi lain yang diputuskan termasuklah pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebagai lapangan terbang antarabangsa dan pelaksanaan segera beberapa projek serta penyertaan lebih ramai dan meluas kontraktor dan rakyat Kelantan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).
"Umno Kelantan yakin resolusi 10 perkara penting yang diserahkan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Ahad lepas akan dipertimbangkan bagi kepentingan rakyat Kelantan pada masa depan."
"Nampaknya Pak Lah memberi perhatian yang serius terhadap resolusi itu," tambahnya.
Annuar berkata keyakinan itu berdasarkan 59 resolusi konvensyen MKK pertama yang hampir keseluruhan diterima dengan baik oleh Perdana Menteri sehingga menghasilkan peruntukan terbesar sebanyak RM7.3 bilion di bawah RMK9.
Sempena perasmian cawangan bgaru Umno itu, seramai 60 penduduk kampung Panggong Tiga Daerah, termasuk anggota Pas dan kumpulan atas pagar menyertai cawangan itu yang diketuai Mohd Jusoh Mat Jamal, 67.
Turut hadir Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh Kamaruddin Mohd Nor, Anggota Parlimen Pasir Puteh, Datuk Che Min Che Ahmad dan Aduni Selising, Amran Mohd Nor.

