Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PULASAN | Begini: Ia bermula dengan suatu jenis ketakutan yang merata. Dalam kekaburan dan teraba-raba itu semua orang takut. Tetapi rupa-rupanya di sebalik ketakutan itu ada orang yang takutnya melebihi ketakutan lain.

Maka kita melihat kerajaan dijatuhkan melalui pakatan sulit yang dipercayai bermula sejak hari pertama Pakatan Harapan (PH) mencapai persetujuan bekerjasama dengan sejumlah bekas pemimpin kanan Umno yang diketepikan.

Maka dibingkaikan bahawa langkah itu dibuat kerana PH gagal menjaga kepentingan Melayu dan Islam. Ia adalah hujah primer. Untuk menambah kekuatannya maka nama koronavirus pun ditunggang.

Betapa kerajaan yang dipilih rakyat pada 2018 itu gagal segala-galanya. Covid-19 yang tidak pernah kita kenal menular dan semakin mengancam. Di celah-celah ketakutan itu adalah penyokong kumpulan yang menumbangkan PH itu - entah bersungguh, entah bergurau - mendoakan agar Covid-19 mengganas lagi. Biar ia menjangkiti orang yang mereka benci.

Ternyata Covid-19 dapat dikawal. Malangnya ia hanya bertahan seketika. Nafsu dan berahi orang politik ini bukannya dapat dikekang. Ia boleh dijangka, cuma susah benar untuk dimatikan. Entah apa yang perlu dikembiri untuk melemahkan syahwat kepada kuasa itu.

Apa yang terpancar daripada kejayaan menjatuhkan PH? Ia membawa isyarat bahawa segala-galanya boleh. Malaysia boleh, kan?

Maka kerajaan Sabah pun sepatutnya boleh dijatuhkan dengan langkah menggoda wakil rakyat agar berpaling tadah. Ia agak berjaya sehinggalah kerajaan semasa ketika itu menasihatkan kepada Yang di-Pertua Negeri agar Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan.

Sekali lagi ada isu isyarat yang dihantar. Ia memang memberi amaran kepada orang ramai bahawa ada pilihan raya negeri (PRN) akan diadakan. Ketika itu Covid-19 masih ada dan 'agak malu-malu' penyebarannya.

Tetapi berahi dan syahwat ahli politik kemudian menghantar isyarat yang salah. Bahawa Covid-19 itu tidaklah sebahaya mengekallan kerajaan negeri. Maka demi maslahat yang lebih besar, PRN perlu diadakan. Usah dinanti waktu matangnya.

Ia kira-kira sama seperti langkah menjatuhkan PH di Putrajaya. Kononnya demi mengelak mudarat yang lebih besar, maka diambil mudarat lebih kecil. Pedulilah kecaman parti politik kepada langkah menafikan demokrasi di beberapa negara umat Islam sebelum ini.

Kritikan kepada kuasa pengkianatan yang menafikan kemenangan pilihan raya oleh Abbasi Madani dan Mohamed Morsi dulu ada justitifikasinya. Dan sudah barang tentu untuk menghalalkan langkah menafikan mandat rakyat pada 2018 di negara sendiri ada dalilnya.

Isyarat salah

Ayat al-Quran yang sama, hadis yang sama dan ijmak yang sama boleh saja ditafsir secara berbeza agar semua langkah yang diambil dapat dibingkaikan sebagai keputusan yang mendapat restu dari langit.

Kemudian Covid-19 mula mengganas dalam kadar yang tidak pernah kita bayangkan. Pelbagai langkah diambil untuk mengekangnya. Ada nampak perubahan dan kejayaan. Pada masa sama, selain manusia yang sakit, ekonomi juga sakit. Bukan calang-calang punya sakit.

Maka beberapa kelonggaran diberi. Covid-19 bukannya hilang. Covid-19 masih ada tapi kelonggaran dihidangkan. Ia memang suatu kelegaan yang amat sangat. Selepas berkurung sekian lama dalam rumah atau kawasan sekitar saja, kelonggaran itu adalah kurnia yang dinanti-nanti.

Ingat: Covid-19 masih ada.

Maka apa yang difahami oleh rakyat? Ia menghantar isyarat bahawa Covid-19 itu boleh ditoleransi. Amalkan mana-mana SOP yang dirasakan tidak membebankan, maka semuanya akan menjadi OK.

Lagi pula, di beberapa stesen radio setiap sejam sekali akan ada pemimpin yang membacakan doa. Berulang-ulang, begitulah. Dalam suara yang ada sedikit sebaknya, rakyat mula lupa supaya berhati-hati.

Nasihat dan data yang dibentangkan secara harian gagal menakutkan sesiapa. Takut yang pada awal waktu dulu sudah hilang. Kini yang ada cuma ketakutan kepada kejatuhan pangkat, kuasa dan kerajaan.

Kebetulan pula orang ramai diberitahu tidak lama lagi vaksin untuk mematikan Covid-19 akan sampai. Ia memang dalam jumlah yang terhad dan untuk barisan awal pada mulanya. Rakyat terbanyak, kemudian.

Tapi peduli apa, kan?

Isyarat salah demi isyarat salah dipancarkan oleh pihak itu sejak awal lagi. Sesekali ada juga usaha membetulkan keadaan namun gagal. Isyarat yang dinaratifkan sedemikian rupa sebelum dipancarkan itu sudah difahami oleh rakyat secara di luar kawalan.

Minda yang memahami dikalahkan oleh pemikiran yang keliru. Sama seperti ketakutan orang ramai kepada khabar-khabar angin dan fitnah yang direka berbanding fakta.

Analogi bas ekspres

Kemudian datanglah darurat. Ia dijustifikasi dengan hujah keselamatan dan kesihatan. Memang ada semakin ramai orang politik dijangkiti. Semakin ramai positif Covid-19.

Sesekali datang juga fikiran nakal. Kadang-kadang teringin juga meminta agar virus itu sempat mengajar orang politik agar segera sedar diri. Memang kebanyakan mereka tidak sedarkan diri walaupun tidak pengsan atau pitam.

Bernafas dalam kuasa dan jawatan memang boleh - dan mudah - membuatkan seseorang hilang akal. Pedulilah sama ada mereka pemegang ijazah PhD pun. Hilang akal keraja sedapnya kuasa dan jawatan itu, pesonanya sangat luar biasa.

Lalu isyarat apa yang dihantar Putrajaya melalui darurat ini?

Ia antara lain menunjukkan bahawa segala langkah yang diambil sebelum ini gagal dan serba silap. Ia semudah itu. Dan mereka enggan mengakuinya.

Disebabkan sebahagian kita gemar sangat beranalogi, maka situasi sekarang bolehlah dikatakan begini: Sebuah bas ekspres sedang bergerak laju di atas jalan raya. Ia memang tidak berhenti di mana-mana lokasi. Tetapi pemandunya sedang mengalami sesak nafas. Sedang di depan saja yang ada cuma jalan mati. Selepas itu ada pula jurang yang dalam.

Ada kalangan penumpang itu sedang membacakan doa. Ada juga sedang memberi kuliah, dan sesekali memberikan fatwa. Isyarat yang diberikan ialah: kekal tenang kerana semuanya terkawal.

Bas bergerak laju. Jurang semakin hampir. Apa yang perlu dilakukan? Darurat? Bas itu sendiri adalah darurat!


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS