Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Dalam usaha mengatasi penularan wabak Covid-19, Malaysia sekali lagi terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) bagi negeri-negeri “zon merah” yang mengalami kes jangkitan yang tinggi.

Seperti sebelumnya, kebimbangan rakyat terhadap risiko kehilangan punca pendapatan kembali memuncak, terutamanya dalam kalangan mereka yang miskin dan mudah terjejas.

Oleh itu, adalah penting agar isu ini dititik berat oleh kerajaan supaya semua penduduk di Malaysia dilindungi secukupnya dalam menghadapi cabaran kesihatan dan kejutan ekonomi yang akan timbul.

Ramai miskin dan mudah terjejas, bertambah teruk disebabkan krisis semasa

Menurut statistik rasmi tahun 2019, 5.6% isi rumah Malaysia (sekitar 400 ribu isi rumah) hidup dalam kemiskinan mutlak, dengan pendapatan mereka tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Namun, masih terdapat ramai isi rumah yang tidak mampu hidup dengan selesa dan sangat terdedah kepada kemiskinan mutlak, apabila pendapatan mereka ini hanya tinggi sedikit daripada garis kemiskinan mutlak (purata RM2,208 sebulan).

Statistik bagi tahun 2019 menunjukkan bahawa hampir 17% isi rumah (1.2 juta) berada dalam kemiskinan relatif.

Ini disebabkan pendapatan mereka kurang daripada separuh pendapatan penengah keseluruhan isi rumah Malaysia sebanyak RM5,873, iaitu tidak mencecah RM3,000 sebulan.

Oleh itu, sebanyak 800 ribu isi rumah sangat terdedah kepada kemiskinan mutlak sekiranya berlaku kejutan ekonomi kerana tahap pendapatan yang tidak kukuh.

Fenomena ini bermakna kehilangan pendapatan serendah RM700 sebulan oleh setiap isi rumah sudah cukup untuk menyebabkan hampir 800,000 isi rumah jatuh ke dalam kategori miskin mutlak.

Kejutan ekonomi ini tidak mustahil terjadi semasa krisis Covid-19 yang sudah pun berpanjangan sejak tahun 2020.

Semasa tempoh PKP misalnya, ramai berisiko besar mengalami kehilangan pendapatan apabila banyak aktiviti-aktiviti ekonomi yang diarah agar ditutup ataupun dihadkan operasi.

Ringkasannya, krisis dihadapi Malaysia sekarang mampu mengakibatkan 1.2 juta isi rumah berada dalam kelompok miskin mutlak—iaitu tidak mampu memenuhi keperluan asas.

Tak cukup simpanan kecemasan

Sekiranya berlaku kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan, ramai akan terpaksa bergantung kepada simpanan mereka.

Namun, terdapat ramai isi rumah Malaysia yang tidak mempunyai jumlah simpanan yang mencukupi untuk menghadapi kejutan ekonomi.

Berdasarkan data 2019, setelah ditolak perbelanjaan harian, isi rumah berpendapatan 10% terendah (“bottom 10%”) secara puratanya hanya mempunyai lebihan pendapatan sebanyak RM200 sebulan.

Malangnya, jumlah RM200 belum lagi mengambil kira pindahan wajib seperti caruman KWSP dan Perkeso.

Tahap pendapatan yang rendah bahkan sebelum krisis Covid-19 menyebabkan ramai yang tidak berupaya untuk menabung lantaran terpaksa menampung kos hidup yang tinggi, malah ada pula yang terpaksa meminjam.

Golongan ini bukan sahaja tidak dapat mengharapkan kepada simpanan peribadi dalam menghadapi krisis semasa yang berpanjangan ini, malah tidak mempunyai simpanan hari tua.

Misalnya, data KWSP menunjukkan 32% pencarum mempunyai kurang daripada RM5,000 dalam Akaun 1 mereka.

Bantuan kerajaan perlu ditingkatkan segera

Memandangkan jumlah isi rumah miskin dan mudah terjejas adalah tinggi lantaran risiko kehilangan punca pendapatan dan simpanan yang rendah, bantuan dan perlindungan amat penting.

Seperti dibincangkan di atas, krisis dihadapi Malaysia sekarang mampu mengakibatkan sebanyak 1.2 juta isi rumah berada dalam kelompok miskin mutlak.

Oleh itu, bantuan dan pelindungan terutamanya daripada kerajaan amat penting bagi melindungi semua penduduk Malaysia daripada hidup melarat, termasuk semasa tempoh pelaksanaan PKP.

Namun, program bantuan sedia ada yang telah atau akan dilaksanakan mungkin tidak mencukupi. Di bawah Belanjawan 2021 misalnya, kerajaan telah memperuntukkan RM2.2b untuk bantuan tunai bulanan bagi keluarga dan individu miskin.

Melalui program ini, sebuah keluarga boleh mendapat sebanyak RM1,000 sebulan. Walau bagaimanapun, jumlah penerima hanya dijangkakan sebanyak 400,000 sahaja.

Peruntukan ini mungkin tidak mencukupi jika terbukti lebih ramai kehilangan pendapatan dan jatuh ke kategori miskin, iaitu sebanyak 1.2 juta isi rumah seperti yang dibincangkan.

Selain itu, skim tunai Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dengan jumlah peruntukan besar sebanyak RM6.5 bilion masih jauh rendah berbanding dengan jumlah RM21b yang diperuntukkan untuk Bantuan Sara Hidup dan Bantuan Prihatin Nasional pada tahun 2020.

Jumlah pindahan tunai yang disalurkan kepada setiap penerima juga agak kecil jika dilihat dari sudut bulanan.

Contohnya, isi rumah berpendapatan RM2,500 ke bawah dengan dua anak akan menerima RM1,800. Dari sudut bulanan, jumlahnya hanya RM150 sebulan.

Sementara itu, skim bantuan untuk pekerja seperti Program Subsidi Upah yang dilanjutkan sehingga suku pertama 2021 secara bersasar masih tidak melindungi sebahagian besar pekerja terutamanya mereka yang bekerja sendiri dan di sektor informal.

Dengan kemungkinan besar PKP 2.0 pada tahun 2021 ini akan berlanjutan lebih lama daripada dua minggu yang diumumkan, adalah jelas bahawa pakej rangsangan baru perlu dirangka dengan segera.

Dengan pengalaman yang dipelajari daripada PKP 1.0 pada tahun 2020, bantuan yang diperkenalkan haruslah memastikan aspek liputan (“breadth”) dan kecukupan (“depth”) agar semua dilindungi dengan seadilnya.

ADAM FIROUZ dan HAWATI ABDUL HAMID berkhidmat dengan Khazanah Research Institute.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS