Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKP 2.0: Persatuan peniaga tekstil juga minta dibenarkan operasi

Pertubuhan Peniaga Tekstil dan Barang-Barang Am India Malaysia (Mita) menggesa kerajaan agar membenarkan sektor tekstil India beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang sedang berkuat kuasa.

Setiausaha Mita, Maheswary Ramasamy mempersoalkan sama ada kerajaan terlepas pandang terhadap sektor itu di saat sejumlah perniagaan lain dibenarkan meneruskan operasi.

"Kalau kedai emas, gedung pakaian di pusat membeli belah, kedai perabot dan penjualan kereta terpakai dibenarkan ketika PKP, kenapa kami tidak boleh? Adakah kerajaan terlepas pandangan terhadap sektor kami?

"Sekiranya benar, kami meminta kerajaan membenarkan kami beroperasi semula dalam tempoh ini," katanya kepada Malaysiakini.

Maheswary berkata pihaknya telah menghantar surat berhubung perkara itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

PKP telah dikuatkuasakan di lima negeri - Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor dan Sabah - serta wilayah persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Kelantan akan turut dikenakan perintah sama bermula hari ini.

Setakat ini, selain senarai awal yang dikeluarkan kerajaan, kedai cermin mata dan dobi layan diri juga telah dibenarkan beroperasi.

Mengulas lanjut, Maheswary berkata sektor tekstil agak unit dan ada barangan yang dijual sukar diperolehi di tempat lain.

"Sebagai contoh, pakaian untuk upacara pengebumian, perkahwinan, barang-barang sembahyang khususnya penganut Hindu hanya dijual di kedai-kedai tekstil India sahaja.

"Ia tidak jual di pasar mini, atau pusat membeli belah. Perlu ingat, sehingga sekarang tidak ada kluster kedai tekstil berbanding penularan di pusat membeli-belah sebelum ini," katanya.

Katanya lagi, perniagaan mereka telah merosot hampir 80 peratus selepas tiadanya sambutan perkahwinan dan perayaan seperti Deepavali dan Ponggal.

"Ramai pemain industri akan gulung tikar, jika industri kami terus tidak dibenarkan beroperasi," katanya lagi.

Pada 11 Jan, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa PKP 2.0 akan dikuat kuasa di enam negeri masing, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor dan Sabah.

Lihat Komen
ADS