PM tegur pembangunan tidak seimbang di Pulau Pinang
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegur pembangunan yang tidak sekata di Pulau Pinang khususnya di bahagian pulau yang hanya tertumpu di beberapa kawasan sahaja.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegur pembangunan yang tidak sekata di Pulau Pinang khususnya di bahagian pulau yang hanya tertumpu di beberapa kawasan sahaja.
Perdana Menteri berkata beberapa kawasan di bahagian pulau masih ketinggalan dan terpinggir dari arus pembangunan khususnya kawasan yang mempunyai majoriti penduduk Melayu seperti Balik Pulau berbanding Georgetown dan kawasan utara bahagian pulau yang sudah lama membangun.
Katanya kerajaan negeri perlu memberi perhatian dan membangunkan kawasan-kawasan itu supaya ia tidak terus terbiar seperti kawasan di "belakang rumah".
"Kita tidak mahu ada kawasan di dalam Pulau Pinang menjadi kawasan-kawasan `terpulau' dan tidak membangun. Jangan dibiarkan berlaku. Kita tidak mahu kawasan-kawasan itu dilihat sebagai kawasan `belakang rumah' yang tidak membangun dan kurang sihat...ini tidak boleh dibiarkan," katanya.
Abdullah yang juga Presiden Umno dan Ketua Bahagian Umno Kepala Batas berkata demikian semasa berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kepala Batas di Kepala Batas hari ini.
Abdullah berkata walaupun bahagian pulau dikenali sebagai Pulau Silikon yang mempunyai zon perindustrian berteknologi tinggi serta pelbagai kemudahan bertaraf antarabangsa seperti pelabuhan dan lapangan terbang yang menyumbang kepada kemajuan ekonominya, namun masih banyak perkara yang melibatkan orang Melayu yang perlu dibela dan diberi perhatian.
Beliau berkata, pembangunan yang tidak sekata itu akan memberi gambaran yang kurang elok kepada pelancong asing dan tempatan yang datang ke situ, khususnya selepas Jambatan Pulau Pinang Kedua yang menghubungkan Batu Kawan di Seberang Perai dan Batu Maung di bahagian pulau siap dibina kelak.
Katanya, kawasan Batu Maung dan Balik Pulau yang akan menjadi pintu masuk ke bahagian pulau akan menjadi tontonan orang luar dan ia akan memberi gambaran kurang elok kepada kerajaan negeri.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak terutama Pergerakan Pemuda Umno Negeri supaya mengemukakan segera cadangan kepada beliau atau kerajaan negeri untuk dimasukkan sebagai pelan pembangunan Pulau Pinang yang lebih menyeluruh.
Beliau berkata untuk mendapatkan maklum balas daripada pemimpin Umno dan pemimpin negeri ini mengenai pembangunan negeri, beliau akan mengadakan lawatan rasmi sebagai Perdana Menteri ke Pulau Pinang selama dua hari pada 4 dan 5 September ini.
Abdullah berkata sebelum ini terdapat rungutan daripada pelbagai pihak di Pulau Pinang kerana beliau mengadakan lawatan kerja ke negeri-negeri lain tetapi tidak ke Pulau Pinang.
"Saya akan membuat lawatan ke sini sebagai Perdana Menteri untuk tentukan langkah-langkah diambil untuk pembangunan negeri ini...apa juga teguran, nasihat dan pandangan kemukakanlah agar dapat dibincangkan dan dilaksanakan," katanya.
Abdullah yang juga anggota Parlimen Kepala Batas berbangga dengan kemajuan dan kemakmuran yang dinikmati oleh penduduk di kawasan itu tetapi pada masa yang sama mengingatkan mereka supaya bersama-sama menangani masalah sosial yang timbul hasil daripada kemajuan itu.
Katanya, masalah penyalahgunaan dadah yang menjadi masalah utama di kalangan masyarakat di daerah Seberang Perai Utara perlu bersama-sama diatasi dengan kerjasama agensi-agensi penguatkuasa kerajaan.

