Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) adalah bantuan dan sokongan yang sangat diperlukan bagi rakyat Malaysia dalam menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi yang berlaku sekarang, kata Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata beliau memuji intervensi kerajaan yang dilakukan tepat pada masanya untuk memerangi pandemik Covid-19, menjaga kesejahteraan rakyat dan menyokong kesinambungan dan kemampanan perniagaan.

“MEF menyokong Program Subsidi Upah 3.0 di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), ia membolehkan semua majikan yang beroperasi di negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyertai program tersebut.

"Subsidi gaji sebulan RM600 untuk pekerja berpendapatan di bawah RM4,000 akan memberikan kelegaan kepada majikan yang layak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, beliau mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan untuk melanjutkan skim subsidi upah sama seperti disediakan kepada majikan di negeri-negeri yang bukan diletakkan di bawah PKP.

Mengenai bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) Tambahan yang dilanjutkan, Syed Hussain berkata perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sangat digalakkan untuk mengakses kemudahan kredit mikro itu termasuk pinjaman berjumlah RM1 bilion dan memanfaatkan platform serta kempen e-Dagang seperti Shop Malaysia Online .

"MEF sangat menghargai dan berterima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan kerana menyediakan pakej Permai dan berharap kerajaan akan terus memberikan sokongan yang diperlukan kepada majikan serta pekerja dalam tempoh yang sangat mencabar ini," katanya.

Semalam, Perdana Menteri melancarkan Permai, pakej bantuan bernilai RM15 bilion untuk meringankan beban rakyat dan memastikan daya tahan ekonomi ketika negara menghadapi krisis pandemik Covid-19.

Pakej bantuan tersebut mengandungi 22 inisiatif untuk memerangi wabak itu, menjaga kesejahteraan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

- Bernama