Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isteri, KP Kesihatan nafi Dr Ali maut akibat kelesuan bekerja, Covid-19
Diterbitkan:  Jan 20, 2021 1:42 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

Isteri petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Ali Noor Hassan yang meninggal dunia semalam, Asilah Aqarny menafikan bahawa suami berada dalam kelesuan bekerja.

Menerusi satu hantaran di Facebook, katanya, maklumat yang tersebar di media sosial yang menjadi tular sebelum ini adalah kurang tepat.

“Dia meninggal di HKL (Hospital Kuala Lumpur) kerana acute respiratory distress bukan sebab Covid-19 atau kepenatan bertugas melawan Covid-19,” katanya.

Menurut isterinya, Dr Ali, memang banyak terlibat dengan aktiviti jemaah tabligh dengan memeriksa pesakit secara percuma semasa ijtimak tabligh.

“Tidak berkira kerja dengan kawan-kawan, dan dia antara yang suka ziarah sahabat atau saudara sakit. Ramai yang mesej Dr Ali antara orang yang pertama melawat apabila kawan-kawan tak sihat.

“Beliau juga banyak bersedekah. Setiap hari walau sedikit... Damai lah di sana wahai suamiku.” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah juga menafikan dakwaan bahawa Dr Ali meninggal dunia akibat kelesuan dalam bertugas ataupun kerana jangkitan Covid-19.

Sebaliknya beliau berkata ia disebabkan Allahyarham mempunyai penyakit lain, namun enggan mendedahkannya ketika ditanya.

“Beliau meninggal bukan akibat jangkitan Covid-19 atau kelesuan dalam bertugas,” katanya ringkas yang dipetik Bernama.

Terdahulu Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) menerusi laman Facebook semalam melaporkan Dr Ali jatuh sakit kerana beban kerja terlalu penat dan letih, selain kekurangan masa untuk beristirehat setelah bertugas di barisan hadapan.

Sementara itu dalam kenyataan di laman Facebooknya, Dr Noor Hisham berkata keputusan ujian Covid-19 Allahyarham adalah negatif dan memohon mana-mana pihak tidak membuat spekulasi bagi menghormati jenazah serta ahli keluarga Allahyarham.

Menurutnya Allahyarham yang meninggal dunia lewat malam kelmarin (18 Jan) dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak awal Disember 2020 disebabkan penyakit lain dan telah menjalani beberapa sesi rawatan.

“Beliau seorang Pegawai Perubatan KKM yang amat disenangi oleh rakan-rakan sekerja, pesakit dan masyarakat setempat beliau. Salam takziah diucapkan buat seluruh ahli keluarga Allahyarham Dr Ali Noor bin Hassan atas pemergian beliau,” katanya.

Dr Noor Hisham turut mengajak semua memanjatkan doa buat Allahyarham agar dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.


Lihat Komen
ADS