Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keluarga Nora Anne fail semakan keputusan Mahkamah Koroner

Keluarga Nora Anne Quoirin akan memfailkan cabaran undang-undang berhubung keputusan Mahkamah Koroner yang sebelum ini memutuskan bahawa kematian remaja Ireland-Perancis itu disebabkan oleh kecelakaan dan tidak melibatkan pihak ketiga.

Peguam mereka di Malaysia, Louise Azmi hari ini mengesahkan telah menerima arahan anak guamnya untuk mengemukakan permohonan semakan berkenaan.

"Ya," kata Louise ketika ditanya oleh Malaysiakini melalui telefon hari ini mengenai apakah keluarga itu ingin membatalkan keputusan Mahkamah Koroner Seremban.

Peguam itu juga mengesahkan bahawa pasukan undang-undang mereka sedang membuat persiapan untuk mengajukan semakan di Mahkamah Tinggi Seremban.

Semalam, BBC News memetik ibu Nora Anne, Meabh Jaseprin Quoirin, mengatakan bahawa "inkues berkenaan adalah pertempuran yang harus diteruskan atas nama Nora".

Penyiar berita yang berpangkalan di United Kingdom itu melaporkan bahawa keluarga tersebut akan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Malaysia untuk memeriksa kembali bukti dan merakam keputusan terbuka".

BBC juga melaporkan bahawa ibu bapa Nora Anne percaya bahawa anak mereka diculik.

Pada 4 Januari tahun ini, Mahkamah Koroner Seremban memutuskan bahawa kematian remaja itu disebabkan oleh kecelakaan.

Koroner Maimoonah Aid memutuskan bahawa tidak ada pihak ketiga yang terlibat dalam kematian Nora Anne pada bulan Ogos 2019, setelah dia hilang dari resort Dusun di Seremban.

“Selepas mendengar semua bukti yang relevan, saya memutuskan bahawa tiada sesiapa terlibat dalam kematian Nora Anne.

"Kemungkinan besar dia meninggal dunia kerana kecelakaan ketika keluar dari sora house (di Dusun Resort) seorang diri dan kemudian tersesat di kawasan kebun sawit tinggal," katanya semasa prosiding terbuka di Kompleks Mahkamah Seremban.

“Bagi saya untuk membuat spekulasi dan menganggap tindakan dan penglibatan pihak ketiga tanpa fakta yang dibuktikan adalah merupakan pelanggaran kepada tugas saya.

"Dengan ini inkuiri ini ditutup," katanya.

Sebanyak 47 saksi, termasuk ibu bapa remaja itu, Meabh Jaseprine Quoirin dan Sebastien Quoirin, memberikan keterangan semasa prosiding inkues yang bermula pada 24 Ogos tahun lalu.

Prosiding juga disiarkan secara langsung dalam talian melalui portal rasmi badan kehakiman Malaysia melalui YouTube dan Facebook, dan dijalankan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas dia dan keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian dua minggu di sebuah resort di Pantai dekat Seremban.

Setelah pencarian besar-besaran, mayatnya ditemui di dekat anak sungai di jurang, yang terletak kira-kira 2.5km dari pusat peranginan tempat dia dan keluarganya tinggal, pada 13 Ogos 2019.

Laporan bedah siasat awal menyatakan bahawa kematian remaja kurang upaya itu tidak mempunyai unsur jenayah, Dan menyatakan bahawa dia mati akibat pendarahan gastrousus kerana kelaparan dan tekanan yang berpanjangan.


Lihat Komen
ADS