Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Selangor ambil kira pekerja asing dalam pembelian vaksin
Diterbitkan:  Jan 20, 2021 9:41 PM
Dikemaskini: 1:41 PM

Pembelian vaksin Covid-19 oleh kerajaan negeri Selangor untuk penduduk negeri itu akan turut mengambil kira keperluan pekerja asing, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Dalam memenuhi keperluan itu katanya, kerajaan negeri bercadang untuk menyediakan vaksin Covid-19 pada harga berpatutan khususnya kepada pengusaha kilang di negeri ini yang banyak menggunakan khidmat pekerja asing.

“Kerajaan negeri akan membeli vaksin itu, tapi mungkin untuk kilang-kilang ini kita akan jual pada kos yang minimum bagi memastikan pekerja asing juga menerima vaksin itu.

“Bukanlah kita nak tumpu pemberian vaksin kepada pekerja asing sahaja tetapi disebabkan kerajaan pusat tumpu kepada penduduk tempatan maka kita fokuskan juga kepada pekerja asing serta rakyat tempatan yang memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman khas ‘Pakej Kita Selangor’ di kediaman rasminya, hari ini.

Jelas Amirudin, sekiranya pembelian itu berjaya dilakukan rakyat tempatan akan turut diberikan vaksin secara percuma dan ia sekali gus dapat mengurangkan beban kerajaan pusat.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga sudah menyenarai pembekal vaksin Covid-19 namun ia masih dalam proses rundingan setakat ini.

Jelasnya, beliau sempat berbincang dengan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) ketika lawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang semalam dan ada beberapa perkara telah dipersetujui antara kedua-dua pihak.

“Namun begitu, saya akan muktamadkan perkara ini berhubung vaksin Covid-19 dalam pertemuan rasmi dengan KKM minggu hadapan,” katanya.

Pada Isnin lepas, kerajaan negeri Selangor menyatakan hasrat membeli kira-kira lima juta dos vaksin COVID-19 bagi rakyat negeri itu dan usaha berkenaan disambut baik oleh kerajaan Persekutuan serta Kementerian Kesihatan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS