Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suhakam: Pastikan pindaan Akta 355 selari hak asasi manusia
Diterbitkan:  Jan 21, 2021 9:16 AM
Dikemaskini: 1:16 AM

Kerajaan dinasihatkan agar membuat pertimbangan semula kepada cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 - juga dikenali sebagai Akta 355 - agar ia selaras dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) kerajaan juga wajar mengguna pakai pendekatan lebih prihatin dengan menghormati prinsip hak asasi manusia untuk semua, termasuk melalui sesi dialog yang berterusan serta program kesedaran bersama pihak berkepentingan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan suruhanjaya itu mereka berkata semua penyeksaan dan layanan, atau hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan serta menjatuhkan maruah dilarang sama sekali mengikut piawaian hak asasi manusia, terutamanya Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

Hukuman yang dianggap melanggar hak asasi manusia, kata Suhakam, ialah sebatan.

"Suhakam menekankan bahawa setiap individu - tanpa mengira orientasi seks atau identiti gender mereka - harus mendapat hak asasi yang sama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk hak privasi dan hak kepada kehidupan yang bermaruah," katanya.

Kelmarin Malaysiakini melaporkan kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk meminda undang-undang lebih tegas bagi penguatkuasaan terhadap golongan lesbian, gay, bisexual dan transeksual (LGBT).

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary langkah itu dicadangkan agar ia lebih memberi kesan terhadap usaha kerajaan membanteras aktiviti dan salah laku golongan terbabit.

Menurutnya, ia akan membabitkan pindaan Akta 355

Untuk rekod sewaktu menjadi pembangkang PAS gigih memperjuangkan pindaan Akta 355 dan menjadikan ia satu daripada gerakan untuk menarik sokongan kepada parti berkenaan.

Usul pindaan itu pernah dibawa ke Dewan Rakyat melalui usul peribadi Presiden PAS Abdul Hadi Awang namun ia tidak pernah dibahaskan. Ia kemudian dikritik sebagai langkah PAS memecahkan kesepakatan Pakatan Harapan (PH).

PAS kini menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional.

Suhakam berkata selama ini mereka menyeru agar hukuman sebat - sama ada dalam undang-undang sivil atau syariah - dimansuhkan agar selaras dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

"Mengenakan hukuman sebatan terhadap pesalah wanita mengikut enakmen syariah negeri bertentangan dengan peruntukan kesamarataan dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan memandangkan Kanun Prosedur Jenayah Persekutuan mengecualikan pesalah wanita daripada hukuman sebatan," katanya.

Lihat Komen
ADS