Almarhum Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj akan dimakamkan di Makam Diraja Selangor, Klang, petang esok.

Almarhum Seri Paduka baginda mangkat di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Jalan Ampang pada jam 11.57 pagi tadi.

Serentak dengan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan tempoh berkabung selama seminggu dan bendera dinaikkan separuh tiang. Pengumuman kemangkatan almarhum Seri Paduka baginda dibuat oleh Dr Mahathir melalui siaran langsung dari Angkasapuri, kira-kira jam 2 petang tadi.

Jenazah almarhum Seri Paduka baginda akan dibawa ke Istana Kayangan, Shah Alam, hari ini bagi majlis penghormatan terakhir oleh keluarga dan kerabat diraja Selangor sehingga pagi esok.

Penghormatan terakhir

Selepas dimandi dan kafan, jenazah almarhum Seri Paduka baginda akan dibawa ke Masjid Negara untuk disembahyangkan pagi esok.

Jenazah Seri Paduka baginda kemudiannya akan dibawa ke Istana Negara bagi membolehkan orang kenamaan dan rakyat memberi penghormatan terakhir.

Jenazah Seri Paduka baginda kemudiannya akan dibawa ke hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur untuk diberi penghormatan terakhir oleh anggota pasukan Angkatan Tentera Diraja Malaysia.

Seterusnya, jenazah Seri Paduka baginda akan dibawa semula ke Istana Alam Shah untuk menerima tatapan terakhir daripada kerabat diraja dan rakyat sebelum acara pemakaman.

Almarhum Seri Paduka baginda sebelum ini menerima rawatan hampir dua bulan dan menjalani pembedahan jantung di Hospital Mount Elizebeth, Singapura. Almarhum Seri Paduka baginda dibawa pulang ke tanahair Ahad lalu dan meneruskan rawatan di Pusat Perubatan Gleaneagles Intan.

'Tidak menyangka'

Bercakap dalam sidang akhbar selepas pengumuman itu, Dr Mahathir turut melahirkan rasa sedihnya atas kemangkatan baginda.

"Saya amat rindukan baginda. Dia adalah rakan baik dan rapat dengan saya. Saya tidak menyangka baginda akan mangkat walaupun diketahui baginda sakit dan menjalani pembedahan sebelum ini," katanya.

Menurut beliau lagi, almarhum Seri Paduka baginda adalah seorang yang sangat aktif dan telah menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong dengan begitu dedikasi serta sering mengadakan lawatan ke jabatan dan kementerian.

"Saya tahu baginda tidak sihat tetapi almarhum tetap mahu melakukannya kerana menganggap ia sebagai sebahagian daripada tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Menurut Dr Mahathir lagi, Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin masih memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Mesyuarat majlis

Katanya, Majlis Raja-Raja akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh empat minggu ini untuk perlantikan rasmi Yang di-Pertuan Agong yang baru.

Sementara itu, almarhum Seri Paduka baginda dilahirkan pada 8 Mac 1926 di Istana Bandar, Kuala Langat dan mendapat pendidikan awal di Pangkalan Batu Malay School I, Kelang pada tahun 1934. Seri Paduka baginda kemudiannya melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar hingga Disember 1941.

Selepas Perang Dunia kedua, almarhum Seri Paduka baginda menyambung pengajiannya selama dua tahun di School of Oriental Studies, University of London pada 1947.

Sekembalinya ke tanahair, almarhum Seri Paduka berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai pegawai pelatih Jabatan Kajian Selangor, dan kemudian dilantik sebagai Inspektor Sekolah selama lapan tahun.

Pada 1952, selepas menamatkan latihan enam bulan di Regimen Melayu di Port Dickson, Negeri Sembilan. Almarhum Seri Paduka baginda kemudian dianugerahkan "Queen Commission" dengan pangkat kapten sebelum dinaikkan ke pangkat mejar.

Almarhum Seri Paduka baginda dilantik sebagai Tengku Laksamana Selangor pada 1 Ogos 1946 dan kemudian menjadi Raja Muda Selangor pada 13 Mei 1950.

Peminat sukan

Selepas kemangkatan ayahanda Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj pada 1 September 1960, almarhum Seri Paduka dilantik sebagai Sultan Selangor pada 3 September 1960 dan ditabalkan pada 28 Jun 1961.

Pada 26 April 1984, almarhum Seri Paduka baginda yang memegang jawatan Kolonel Tertinggi Angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia sejak 1966, menerima anugerah sebagai Kapten Kehormat Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia oleh Angkatan Tentera Diraja Malaysia.

Almarhum Seri Paduka berkahwin dengan Raja Permaisuri Agong Tunku Siti Aishah pada 3 Mac 1990. Almarhum dikurniakan empat putera dan enam puteri daripada tiga perkahwinan sebelumnya.

Almarhum Seri Paduka dikenali sebagai peminat sukan golf, selain minat berlayar, mengumpul kereta antik dan menanam pokok orkid. Selain itu, almarhum Seri Paduka juga gemar melancong ke luar negara bagi tujuan menambah pengalaman dan pengetahuan.

Almarhum dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia kesebelas pada 26 April 1999.