Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Thaipusam: Tiada istilah cuti ketika kerja dari rumah - Cuepacs

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, tiada istilah cuti bagi pekerja yang bekerja daripada rumah (WFH).

Justeru itu, Abdul Rahman berpendapat cuti peristiwa Thaipusam sewajarnya diberikan kepada rakyat di negeri Kedah.

"Ya (perlu diberikan), kerana itu adalah cuti. Tiada istilah cuti tidak diberikan kerana alasan kerja daripada rumah. Itu dah bukan untuk sambutan. Itu kena kerja.

"WFH (kerja dari rumah) itu kerja, walaupun guna dalam talian, tetap kerja. Jadi berilah cuti dan rehat kepada penjawat awam khususnya yang beragama Hindu sekiranya mereka ingin menyambut di rumah secara sederhana," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Setiausaha politik menteri besar Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamudden mengambarkan keputusan menarik balik cuti peristiwa Hari Thaipusam dibuat antaranya kerana keadaan sekarang seperti sedang bercuti.

“Cuti peristiwa tak diberi kerana memang rakyat sudah ‘bercuti’ apabila kebanyakan mereka berkerja dari rumah ketika PKP,” katanya.

Pada 20 Jan lalu, Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor mengumumkan tiada cuti peristiwa bagi perayaan Thaipusam di negeri itu pada tahun ini.

Kenyataan Sanusi itu turut mengundang kecaman pemimpin politik yang menyifatkan sebagai berat sebelah dan melampau.

Abdul Rahman turut berpandangan cuti tersebut perlu diberi kerana ia adalah hak setiap penjawat awam beragama Hindu.

"Kena berilah cuti (Thaipusam). Itu hak mereka dan agama, sepatutnya penjawat awam yang beragama Hindu berhak dapat cuti dan sambut agamanya.

"Nanti kalau tak beri, mereka akan pertikai cuti peristiwa kita (kaum Melayu) pula. Mereka boleh kata waktu Thaipusam tak beri kenapa Nuzul Quran boleh?

"Perkara ini akan menjadi isu nanti. Kita tidak boleh macam ini. Ini negara Malaysia yang mempunyai banyak agama dan kaum yang perlu dihormati," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS