Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemulangan aset 1MDB: 'Tidak bertambah tapi k'jaan kekal komited'
Diterbitkan:  Jan 22, 2021 6:58 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

Jumlah aset yang berjaya diperoleh semula negara daripada skandal 1MDB tidak bertambah sejak September tahun lalu, iaitu sebanyak RM13.4 bilion.

Angka itu dinyatakan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam wawancara bersama Bloomberg hari ini.

"Langkah seterusnya, walaupun dengan Covid-19, adalah untuk mendapatkan semula baki aset, melangkaui apa yang kita dapat hari ini.

"Kerajaan Malaysia kekal komited untuk mengambil pendekatan pragmatik dan bertanggungjawab dalam pengambilan semula aset dengan cara yang membawa manfaat kepada rakyat," katanya.

Pada November lalu, laporan tinjauan fiskal 2021 persekutuan menyatakan kerajaan telah memperoleh semula RM13.4 bilion setakat September 2020.

1MDB ditubuhkan pada 2012 oleh perdana menteri ketika itu, Najib Razak sebagai sebuah dana pelaburan.

Bagaimanapun syarikat itu menyebabkan kerajaan menanggung hutang yang besar. Setakat akhir September 2020, ia dilaporkan masih menanggung hutang sebanyk RM32.3 bilion.

Ia antaranya berpunca daripada urus niaga dengan Goldman Sachs. Selepas ancaman tindakan undang-undang, penyelesaian berjumlah RM6 bilion dicapai antara pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dengan syarikat itu.

Bagaimanapun perincian penyelesaian itu tidak didedahkan.

Pada Julai tahun lalu, Najib disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Najib kini dalam peringkat rayuan terhadap keputusan itu.

Dia juga kini dibicarakan atas tuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS