Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SEMAK FAKTA | Cuti peristiwa Thaipusam di Kedah sejak 2014

Menurut Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Mohd Nor, tiada cuti untuk hari Thaipusam di negeri itu melainkan "melainkan dua tahun terakhir" apabila ia dijadikan cuti peristiwa.

Setiausaha politiknya Afnan Hamimi Taib Azamudden pula dalam hantaran Facebook mendakwa hari Thaipusam hanya diisytiharkan sebagai cuti peristiwa di Kedah pada 2017. Menurutnya, ia tidak berlaku pada tahun-tahun sebelumnya.

Sebuah portal berita Inggeris dalam semakan faktanya turut membayangkan Thaipusam hanya diisytihar sebagai cuti peristiwa di Kedah sejak 2017 dan tidak menyebut ia dijadikan hari cuti pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, Thaipusam memang dijadikan cuti peristiwa di Kedah sejak 2014.

Ia diisytihar menteri besar ketika itu, Mukhriz Mahathir dan menerima perkenan Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Ia bagi memenuhi janji PRU 2013 yang dibuat BN - ketika itu cuba merampas semula Kedah daripada PAS dan Pakatan Rakyat.

Thaipusam terus menjadi cuti peristiwa di Kedah pada 2015, 2016, 2017, 2018 dan 2019.

Pada 2020, tiada cuti peristiwa diisytiharkan memandangkan Thaipusam jatuh pada hari Sabtu.

Tahun ini, perayaan itu jatuh pada Khamis minggu depan, bersamaan 28 Januari.

Terdahulu, Sanusi berkata kerajaan negeri memutuskan untuk tidak mengumumkan cuti bagi perayaan itu susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan kali kedua (PKP 2.0).

Bagaimanapun dia berkata ia masih boleh disambut dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Upacara sembahyanng di kuil masih dibenarkan tetapi kehadiran dihadkan kepada satu pertiga daripada kapasiti ruang.

Perarakan kavadi pula tidak dibenarkan.

Lihat Komen
ADS