Malaysiakini
BERITA

Lelaki mati lemas lepas terjun sungai elak ditahan polis

Bernama

Diterbitkan

Seorang lelaki yang bertindak terjun ke dalam Sungai Sembrong di Kampung Sri Cahaya, Batu 5, dekat Kluang, ketika cuba melarikan diri dari ditahan polis petang semalam, ditemukan lemas hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Low Hang Seng berkata mayat lelaki itu ditemukan pasukan mencari dan menyelamat pada 5.15 petang tadi, kira-kira 150 meter dari tempat dia dilaporkan tenggelam.

“Usaha mencari dan menyelamat mangsa disambung 8.30 pagi tadi membabitkan 10 anggota bomba, enam anggota polis serta sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kluang selepas ditangguhkan 6 petang semalam,” katanya menerusi kenyataan.

Low berkata mayat mangsa disahkan ibunya dan kemudian dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, untuk bedah siasat.

Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada kira-kira 5.40 petang, katanya.

Menurut Low, lelaki berumur 33 tahun itu bertindak terjun ke dalam sungai tersebut bersama empat yang lain ketika anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang membuat serbuan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di sekitar kawasan berkenaan, kira-kira 4.30 petang, semalam.

Dalam operasi berkenaan, polis, bagaimanapun, berjaya menahan dua lelaki, kedua-duanya berumur 39 dan 41 tahun.

-Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.