PAS: Parti Komunis bantu capai kemerdekaan negara
Sejarah tidak boleh menafikan hakikat bahawa Parti Komunis Malaysia (PKM) turut berperanan dalam menuntut kemerdekaan negara, kata badan pemikir PAS.
Sejarah tidak boleh menafikan hakikat bahawa Parti Komunis Malaysia (PKM) turut berperanan dalam menuntut kemerdekaan negara, kata badan pemikir PAS.
Dalam sebuah rencana yang disiarkan dalam lidah rasmi PAS Harakahdaily.net Pusat Penyelidikan PAS Pusat berkata PKM turut aktif dalam kempen mencapai kemerdekaan sejak penubuhannya pada Mei 1930.
"Pada zaman penjajahan Jepun, (Setiausaha Agung PKM), Chin Peng (foto) dan anak buahnya adalah antara kumpulan yang paling berani menentang Jepun.
"Adakah boleh ditolak peranan PKM menentang penjajah? Mereka ini duduk di tengah-tengah hutan, tidur berlantaikan tanah, berbumbungkan langit untuk memerangi Jepun dan mencari kemerdekaan sebenar.
Pusat itu berkata, Perjuangan PKM tidak terhenti setakat menentang penjajahan Jepun, tetapi mereka juga mengangkat senjata untuk menentang penjajah British bagi menuntut kemerdekaan.
"Tidak dinafikan mereka berjuang mendapatkan kemerdekaan untuk membentuk satu bentuk penjajahan baru dengan doktrin komunisme untuk menubuhkan sebuah negara komunis (yang sama sekali ditolak masyarakat Melayu dan Islam), tetapi usahasama dan gandingan perjuangan mereka untuk membebaskan Tanah Melayu dari penjajah wajarlah dinafikan," katanya.
Tekuni semua fakta sejarah
Justeru, katanya, makalah perulah untuk menekuni kesemua fakta sejarah dengan mengambilkira semua peranan yang dimainkan oleh sesiapa juga baik pemimpin ataupun rakyat biasa di semua peringkat dalam usaha memerdekakan negara ini.
Tambahnya, perjuangan itu bukan sahaja terhad di meja perundingan tetapi juga sanggup berkorban nyawa demi memerdekakan tanahair dan membela maruah agama dan bangsa.
"Sebelum Tunku Abdul Rahman melaungkan 'Merdeka' pada 31 Ogos 1957, laungan ini sudah bergema dan banyak babak sejarah yang dimainkan bukan hanya Umno ataupun Perikatan.
"PKM bersama parti-parti nasionalis Melayu yang diharamkan telah mengangkat senjata menentang British. Abdullah CD, Rashid Mydin, Shamsiah Fakeh dan Musa Ahmad adalah antara pemimpin yang turut berjuang untuk kemerdekaan," katanya lagi.
CPM telah dibubarkan secara rasmi dan meletakkan senjata ekoran termeterainya perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia dan Thailand, yang ditandatangani pada 2 Disember 1989 di Haadyai.
Chin Peng, yang kini tinggal di Thailand, telah menyaman kerajaan Malaysia dalam usahanya untuk dibenarkan pulang ke negara ini.
Sementara itu, Pusat Penyelidikan PAS pusat itu juga berkata, sejarah menunjukkan wujudnya parti-parti politik nasionalis Melayu yang mendahului Umno dalam perjuangan kemerdekaan.
Mereka adalah Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (Awas), Baris Tani Se-Malaya (Batas) dan Majlis Tertinggi Se-Malaya (Mata).
Pusat itu berkata, apabila semua rakyat memaklumi fakta sejarah perjuangan kemerdekaan yang sebenar dan hakikat sejarah ini diterima, maka barulah sambutan kemerdekaan akan lebih dirasakan maknanya.
Bila ini berlaku, katanya, maka sambutan kemerdekaan ini tidak lagi memerlukan peringatan dan pengumuman kerajaan, kerana ianya milik bersama semua anak bangsa Malaysia.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.