Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Integrasi hospital k'jaan-swasta: KKM beri taklimat pada pemegang taruh
Diterbitkan:  Jan 23, 2021 10:44 PM
Dikemaskini: 2:44 PM

Kementerian Kesihatan (KKM) telah memberi taklimat berkenaan pelan integrasi hospital awam-swasta kepada pemegang taruh, dengan harapan ia dapat mula dilaksanakan pada minggu depan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, taklimat hari ini yang dibuat secara dalam talian melibatkan 596 peserta daripada pelbagai kumpulan.

Antara yang menyertainya adalah Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imam) dan Persekutuan Persatuan Perubatan Malaysia (FPMPAM).

Turut serta adalah pegawai daripada KKM, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), Jabatan Kesihatan Negeri serta Bank Negara Malaysia.

"Ketika libat urus, kami membentangkan kemas kini aplikasi MySejahtera seperti laporan kendiri untuk kes positif dan pengurusan pesakit di rumah, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan Pusat Kawalan Bersepadu ( Unified Command Centre, UCC)," katanya di Facebook.

CAC akan diwujudkan di setiap negeri dan bertanggungjawab menyelia pesakit Covid-19 Kategori 1 (tanpa gejala) dan Kategori 2 (gejala ringan).

Antara peranannya adalah mengenal pasti pesakit yang boleh menjalani kuarantin di rumah atau perlu ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Pusat ini secara rasmi mula beroperasi hari ini.

"UCC adalah organisasi berfungsi yang menyelia dan mengaturkan semua usaha berkaitan pengurusan klinikal pesakit Covid-19 dalam kawasan tertentu, dan akan mengintegrasikan kemudahan kesihatan swasta," katanya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan bahawa UCC akan menyelia pesakit Covid-19 yang perlu dirawat di hospital - kalangan dalam Kategori 3 (gejala kritikal), Kategori 4 (mengalami pneumonia dan memerlukan bantuan oksigen) dan Kategori 5 (mengalami penyakit kritikal dan kegagalan organ).

Ia akan menentukan apakah sumber yang diperlukan di sesebuah kawasan - termasuk perkhidmatan klinik, ambulans, perkhidmatan sokongan klinikal dan sumber manusia - dan akan mengaturkannya.

Noor Hisham berkata dia berharap kerjasama antara sektor awam dan swasta akan membantu negara dalam menangani wabak Covid-19.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS