Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan pengumuman keputusan penghakiman bagi permohonan parti pembangkang dari Sarawak Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) untuk mengenepikan keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran parti itu pada 2002.

Timbalan Presiden Snap Datuk Justine Jinggut (kanan), yang membuat permohonan tersebut, memberitahu malaysiakini pagi ini bahawa parti itu menerima surat daripada peguamnya mengenai penangguhan tersebut kerana pihak mahkamah memerlukan lebih masa untuk menyediakan penghakiman bertulis.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Raus Shariff menetapkan penghakiman tersebut dibuat pada jam 11 pagi ini.

Pendaftaran Snap parti bangsa Dayak yang ditubuhkan pada awal tahun 60-an dibatalkan pada 5 November 2002, ekoran krisis kepimpinan yang membawa kepada penubuhan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), yang kini telah menganggotai Barisan Nasional.

Sejurus selepas pendaftarannya dibatalkan, parti itu telah mengemukakan permohonan di mahkamah untuk mendapatkan semakan penghakiman terhadap keputusan ROS itu.

Empat tahun

Proses mahkamah telah mengambil masa hampir empat tahun dan akhirnya pihak mahkamah mendengar hujah peguam plantif serta pihak kerajaan awal tahun ini. Mahkamah kemudiannya menetapkan keputusan penghakiman diumumkan hari ini.

Mengulas mengenai penangguhan tersebut, Justine berkata: "Saya sedikit kecewa kerana ia (proses mahkamah) telah begitu lama berlarutan. Ahli-ahli Snap mahu tahu (keputusannya).

"Ramai, terutama ahli kita di seluruh Sarawak, merasakan ini tidak harus terjadi kepada Snap (dibatalkan pendaftaran) dan mereka mahu melihat keadilan ditegakkan (melalui proses perundangan)," tambah Justine yang juga bekas Ahli Parlimen Ulu Rajang.

Menurutnya, pihak mahkamah akan memaklumkan kepada pihak peguam parti itu minggu depan mengenai tarikh baru penghakiman tersebut.

Dalam pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini, Snap meletakkan 29 calon, tetapi hanya seorang sahaja yang menang Dr Johnicol Rayong Nyiga (Engkilili) yang kemudiannya menyatakan sokongannya kepada BN dan menyertai SPDP. Berita asal