Isu berhubung desakan pemecatan Datuk Seri Mohd Nazri Aziz dari kabinet dan Umno kerana didakwa biadap terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, belum berakhir apabila tujuh Pemuda cawangan di Kubang Pasu yang mengemukakan usul tersebut mendakwa, ia sebenarnya telah diluluskan dalam mesyuarat pergerakan bahagian itu Sabatu lalu.

Mereka terkejut dengan dakwaan Ketua Pemuda bahagian tersebut, Zulkifli Md Ros Ahmad bahawa usul supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, tidak diluluskan dalam mesyuarat perwakilan Pemuda bahagian itu Sabtu lalu.

Menurut mereka, ini kerana buku usul yang diedarkan di mesyuarat pergerakan Pemuda Umno bahagian berkenaan Sabtu lalu telah mengkategorikan usul tersebut sebagai 'usul yang diluluskan tanpa bahas'.

Sebagai buktinya, Ketua Umno cawangan Lubuk Kawah, Anuar Zainon telah membaca kandungan buku usul tersebut kepada malaysiakini, ketika dihubungi hari ini.

Beliau menjelaskan, terdapat dua kategori usul, iaitu usul yang dibahas dan diluluskan di mesyuarat perwakilan dan kategori usul yang diterima dan diluluskan tanpa bahas. Ini termasuklah usul memecat Mohd Nazri.

"Oleh itu, kami menganggap usul tersebut telah diterima dan diluluskan oleh Pemuda bahagian," katanya.

Bahas panjang lebar

Katanya, usul tersebut diluluskan oleh tujuh cawangan Pemuda dan satu cawangan (termasuk pergerakan Wanitanya) kerana mendakwa Nazri telah bersikap biadap terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Presiden Umno.

Tujuh cawangan Pemuda Umno tersebut ialah Padang Pasir, Kampung Darat, Padang Halban, Lembah Arang, Kampung Baru Batu 17, Taman Mahsuri dan Wang Perah.

Manakala bagi cawangan Lubuk Kawah pula, usul tersebut diluluskan oleh cawangan berkenaan dan pergerakan wanitanya. Pemuda cawangan itu tidak membawa usul tersebut.

"Usul tersebut telah dihantar ke Pejabat Pemuda Umno bahagian untuk dibawa ke Perhimpunan Agung Umno November depan," kata beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kubang Pasu.

Perhimpunan Agung Umno akan diadakan di Pusat Dangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur dari 13 hingga 17 November ini.

Anuar berkata, usul itu telah diluluskan selepas dibahas secara panjang lebar dalam mesyuarat Umno cawangannya serta pergerakan Wanita cawangan yang sama sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Cawangan Padang Halban, Mohd Shukri Halib, ketika dihubungi malaysiakini berkata, Pemuda cawangannya juga meluluskan usul memecat Nazri.

Beliau berkata, pihaknya membawa usul ini kerana ia adalah kehendak ahli Umno cawangannya ketika mesyuarat cawangan itu diadakan sebelum ini.

Menurutnya, usul itu kemudiannya dihantar ke Pejabat Pemuda bahagian dan ia dikira usul tanpa bahas.

Dianggap sebagai desakan

"Ahli Umno cawangan dan Kubang Pasu secara keseluruhannya amat terluka dengan kenyataan Datuk Nazri yang mengecam dan menghina Dr Mahathir," katanya yang juga Pengerusi Zon Temin, yang menyelia 18 cawangan Umno Kubang Pasu.

Bagaimanapun, Setiausaha Umno Bahagian Kubang Pasu Samsuddin Ahmad, ketika ditanya oleh malaysiakini mengenai perkara itu berkata, usul tersebut dikemukakan oleh tujuh cawangan Pemuda berkenaan, tetapi ia tidak dibincangkan dalam mesyuarat peringkat bahagian kerana ia dianggap satu desakan semata-mata.

Dalam laporan akhbar hari ini, Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Kubang Pasu, Ismail Khamis menafikan pergerakan itu telah meluluskan usul supaya memecat Nazri dari parti dan kabinet.

Ismail dilaporkan berkata, usul tersebut tidak dibentangkan dalam mesyuarat perwakilan Pemuda Kubang Pasu Sabtu lalu.

Manakala Ketua Pemuda Umno Bahagian Kubang Pasu, Zulkifli Md Ros Ahmad pula, ketika dihubungi malaysiakini berkata, desakan supaya Nazri dipecat dari kabinet dan Umno itu sebenarnya dibangkitkan oleh beberapa perwakilan yang berucap di mesyuarat pergerakan itu Sabtu lalu.

Laporan media

Oleh itu, katanya, laporan pihak media bahawa Pemuda Umno bahagian membuat usul untuk memecat Nazri adalah tidak benar.

"Ia bukan usul tetapi hanya ucapan dari perwakilan Pemuda Umno dan bukannya usul dari Pemuda Kubang Pasu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkifli berkata, apa yang berlaku ialah kesilapan laporan yang dibuat oleh media mengenai perkara itu.

Katanya, beliau telah memberitahu pegawai Nazri mengenai perkara itu pagi tadi dan beliau memahaminya.

"Hanya tiga usul yang diluluskan oleh mesyuarat perwakilan iaitu usul politik mengenai hubungan dengan Singapura, usul ekonomi (harga padi) dan usul agama (isu murtad)," katanya lagi.

Menurutnya, pihaknya tidak menghalang perwakilan untuk berucap kerana ini peluang untuk mereka bersuara.