PP: Tubuh segera konsortium syarikat bumiputera dan GLC
Umno Pulau Pinang perlu menyegerakan penubuhan konsortium atau gabungan syarikat Bumiputera dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang boleh menjadi ejen penggerak memajukan pembangunan ekonomi orang Melayu di Pulau Pinang, kata Ketua Umno Bahagian Tanjung Datuk Ahmad Ibnihajar.
Umno Pulau Pinang perlu menyegerakan penubuhan konsortium atau gabungan syarikat Bumiputera dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang boleh menjadi ejen penggerak memajukan pembangunan ekonomi orang Melayu di Pulau Pinang, kata Ketua Umno Bahagian Tanjung Datuk Ahmad Ibnihajar.
Katanya, penubuhan agensi seperti Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Koperasi Gabungan Negeri (KGN), JKP Sdn Bhd dan Yayasan Bumiputera Pulau Pinang untuk membantu Melayu Pulau Pinang yang dilaksanakan sejak 1970-an kesemuanya tidak membawa kesan.
Menurutnya, kegiatan agensi berkenaan tidak diaudit sepertimana syarikat swasta, menyebabkan tiada siapa mengetahui pencapaian sasarannya.
Menurut laporan Bernama, Ahmad berkata, beliau telah mencadangkan penubuhan konsortium yang terdiri daripada syarikat konglomerat Bumiputera dan GLC kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tahun lalu.
"Kerana saya fikirkan perlu membawa konglomerat atau GLC seperti Khazanah Nasional Bhd, TH Properties dan KWSP bagi melaksanakan projek pembangunan di sini kerana selama ini banyak GLC hanya bertumpu di Kuala Lumpur," katanya.
Bagaimanapun, Ahmad, yang juga Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn Bhd (PPSB) menegaskan perlunya konsortium tersebut dikendalikan oleh golongan profesional bagi memastikan ia berjaya mencapai matlamatnya.
Golongan profesional
Katanya, ini kerana kebanyakan GLC yang diterajui golongan profesional sudah berjaya dan formula yang sama perlu digunakan untuk konsortium memajukan Bumiputera Pulau Pinang dan kawasan Melayu seperti Balik Pulau.
Perdana Menteri sendiri, katanya, bersetuju orang Melayu di Pulau Pinang memerlukan organisasi yang boleh menjadi penggerak kepada penyertaan mereka dalam pelbagai bidang, termasuk pelancongan, industri, pengangkutan, pendidikan, perumahan dan hartanah.
"Kalau nak melaksanakan projek perumahan, janganlah diberikan kepada syarikat RM2 atau syarikat yang tidak berkebolehan yang akhirnya menjual projek itu kepada syarikat lain untuk meraih keuntungan... inilah yang dikatakan ketirisan yang akhirnya merugikan orang Melayu," katanya.
Sebagai contohnya, beliau berkata sebuah projek perumahan di Jelutong beberapa tahun lalu, dijual kepada syarikat bukan Bumiputera menyebabkan harga rumah di situ akhirnya tidak mampu dibeli orang Melayu.
Ahmad berkata, ada sesuatu yang tidak kena di Pulau Pinang apabila orang Melayu hanya membeli kira-kira 8 peratus daripada rumah yang dibina di negeri ini, kerana harga yang ditawarkan terlalu tinggi dan di luar kemampuan mereka.
Ditanya mengenai agensi negeri yang sedia ada, beliau berkata perlu diadakan pembersihan bagi memantapkan agensi berkenaan supaya benar-benar relevan dengan pembangunan orang Melayu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.