Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lambat tunggu laptop percuma kerajaan, pelajar cari wakil rakyat
Diterbitkan:  Jan 26, 2021 12:49 PM
Dikemaskini: 4:49 AM

Persoalan berkaitan janji kerajaan memberikan 150,000 laptop pertama kepada pelajar memerlukan dalam Belanjawan 2021 kembali menjadi perhatian.

Ia dibangkitkan selepas berlaku peningkatan permintaan peranti itu untuk pembelajaran, yang dimajukan kepada kumpulan wakil rakyat.

Yayasan Hasanah milik Khazanah Nasional Berhad, yang mengendalikan program komputer riba percuma, menjelaskan bahawa edaran pertama gajet itu hanya akan dibuat bulan depan.

Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan berkata, perincian berhubung komputer riba itu harus dijelaskan tahun lalu untuk mempercepat prosesnya.

“Sepatutnya perkara ini diselesaikan lebih awal dan spesifikasi komputer riba pun sewajarnya boleu ditentukan tahun lepas,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Meskipun setelah komputer riba itu diberikan, Shahril berkata, jumlah gajet itu untuk membantu pelajar tidak akan cukup.

Cadang Shahril, kerajaan perlu menyediakan kupon subsidi kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk membeli komputer riba.

“Sewaktu Belanjawan 2021 dibentang, kerajaan mungkin mengharapkan sekolah dapat dibuka (tahun ini) tetapi realiti sudah berubah.

“Kita sudah hampir masuk bulan Februari dan belum tentu sesi persekolahan akan dibuka semula,” katanya.

Permintaan terhadap bantuan komputer riba kembali mendesak selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP 2.0) pada 13 Jan lalu.

Kerajaan mengarahkan pembelajaran dalam talian.

Bagaimanapun, tidak semua pelajar mampu membeli data jaringan internet serta komputer riba bagi menghadiri kelas dalam talian.

Antara wakil rakyat yang cuba membantu pelajar di kawasannya adalah anggota parlimen Bukit Mertajam Steven Sim.

Sejak semalam kami menerima ratusan permohonan untuk kelas tambahan atas talian, tambah nilai internet dan komputer riba...

Posted by Rosly Yusof on Monday, 25 January 2021

Pegawai Sim, Rosly Yusof berkata pihaknya telah menerima ratusan permintaan untuk bantuan gajet tersebut.

Tambahnya, pihak pejabat wakil rakyat itu telah membeli 100 sim kad data internet tanpa had selama sebulan berharga RM58 bagi membantu pelajar yang memerlukan.

Meskipun kerajaan telah menggesa penyedia perkhidmatan telekomunikasi menyediakan data 1GB setiap hari namun ia tidak mencukupi kerana pelajar harus melakukan panggilan video yang memerlukan data lebih besar.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong juga telah meminta sumbangan untuk membeli komputer riba kepada pelajar.

Bulan lalu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjanji untuk mencukur rambut jika sasarannya untuk mengumpulkan wang berjumlah RM200,000 tercapai bagi membantu pelajar yang memerlukan gajet itu di kawasannya.

Sasaran tersebut tercapai dan Syed Saddiq mengotakan janjinya. Usaha ahli parlimen itu kemudian menjadi bualan awam serta menekankan jurang kemudahan digital antara pelajar.

Sementara itu, Naib Presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia, Firzan Hakimi berkata, kerajaan sehingga kini belum menyelesaikan masalah yang dihadapi pelajar ketika PKP 1.0.

Tambahnya, dia juga menggesa kerajaan untuk menerangkan proses pemberian komputer riba percuma itu.

“Pelajar dan rakyat kebanyakan mempunyai hak untuk mengambil maklum tentang proses pengagihan serta apakah kriteria-kriteria yang diperlukan sebagai penerima,” katanya.

Jelas Firzan, perkara ini dapat dipersoal sekiranya kerajaan tidak mengumumkan perintah darurat sejurus menggangung sesi Dewan Rakyat.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi perbahasan Belanjawan 2021 berkata, program komputer riba percuma itu akan dibiayai oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Kata Tengku Zafrul, pihak itu akan menyumbang RM150 juta bagi 150,000 pelajar di 500 sekolah.

Lihat Komen
ADS