Paling Popular
Terkini

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Amanah mengajak MIC menyertai Pakatan Harapan (PH).

Adun Durian Tunggal, Mohd Sofi Abdul Wahab berkata demikian susulan kemelut parti itu bersama Menteri Besar Kedah dari PAS Muhammad Sanusi Md Nor, berhubung isu penarikan cuti peristiwa Thaipusam di Kedah.

“Saya ajak MIC supaya bersama-sama keluar dan sertai PH kerana jelas PH kita utama semua kaum tidak kira bangsa dan agama.

“[...] Jadi kalau (Presiden MIC) S Vigneswaran sudah sedar sikap PAS melalui menteri besar yang tidak hormat kaum dan agama lain dalam perjuangan politik, maka sudah sampai masa MIC sertai PH,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Perselisihan antara kedua-dua parti itu timbul selepas Sanusi mengumumkan tiada cuti peristiwa Thaiupusam tahun ini, walaupun acara keagamaan dibenarkan dengan syarat yang ketat.

Thaipusam sebelum ini merupakan cuti peristiwa di Kedah sejak 2014.

https://www.malaysiakini.com/news/560080

Keputusan menarik semula cuti itu mendapat kecaman pemimpin MIC, PH, dan juga bekas presiden Umno, Najib Razak.

Sebagai tindak balas terhadap kritikan itu, Sanusi mengatakan langkah itu tidak bertujuan untuk meminggirkan umat Hindu.

Sebaliknya, Sanusi menggesa MIC harus melobi agar kerajaan persekutuan menjadikannya cuti kebangsaan.

Sementara itu, Mohd Sofi turut berkata, PH akan berbesar hati menerima MIC sebagai salah satu parti komponen.

“Saya yakin pimpinan PH berbesar hati dan sedia terima MIC sebagai salah satu komponen parti besar kerana kita PH tiada satu parti pun berjuang atas nama bangsa.

“Walau Amanah berteraskan Islam, tetapi kami adalah parti yang meletakkan asas perjuangan bukan hanya pada satu agama dan bangsa,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS