Buku teks sejarah tidak ketepi sumbangan mana-mana kaum
Buku teks sejarah sekolah menengah yang digunakan adalah selaras dengan peristiwa sejarah tanahair serta tidak mengetepikan sumbangan mana-mana kaum kepada pembangunan negara, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran P Komala Devi.
Buku teks sejarah sekolah menengah yang digunakan adalah selaras dengan peristiwa sejarah tanahair serta tidak mengetepikan sumbangan mana-mana kaum kepada pembangunan negara, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran P Komala Devi.
Fakta sejarah yang dikemukakan dalam buku teks tersebut, tegasnya, memaparkan peristiwa sejarah tanahair yang sebenar dalam konteks melahirkan warganegara yang bangga dengan warisan mereka, selain mencerminkan usaha pelbagai kaum memperjuangkan kemerdekaan negara.
Menurutnya, buku teks tersebut diterbitkan berasaskan sukatan pelajaran dan huraian sukatan pelajaran yang telah disemak semula dan disediakan oleh kementerian secara berperingkat bermula tahun 2003.
"Pemilihan isi kandungan kurikulum adalah berdasarkan fakta-fakta sejarah yang telah terbukti dan diterima. Tidak pernah menjadi hasrat kerajaan untuk mengetepikan sumbangan mana-mana kaum.
"Penemuan dan dapatan terkini adalah hasil penyelidikan ahli sejarah, ahli akademik dan individu, dan dimasukkan ke dalam kurikulum persekolahan sekiranya terbukti kesahihannya dan diterima kesesuaiannya dalam kurikulum," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut laporan Bernama, beliau menjawab soalan Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang mencadangkan kementerian menyemak semula fakta buku teks sejarah sekarang berbanding buku teks sejarah dahulu yang lebih menekankan sumbangan semua kaum dalam proses pembentukan negara.
Komala Devi berkata, sukatan kurikulum mata pelajaran sejarah sekolah menengah juga dibuat untuk menarik minat dan kefahaman pelajar kepada mata pelajaran itu berikutan kajian yang menunjukkan pelajar kurang berminat terhadap mata pelajaran sejarah.
"Terbukti penggunakan sukatan dan huraian sukatan pelajaran baru untuk buku teks sejarah telah dapat meningkatkan peratusan kelulusan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia daripada 62 peratus pada tahun 2003 kepada 73 peratus pada tahun 2004," katanya.

