Dewan Bahasa dan Pustaka didesak supaya membuang perkataan 'keling' dan 'cinabeng' daripada 'Kamus Dewan' atau meminda definasinya bagi mengelak kekeliruan di kalangan pengguna kamus tersebut.

Pengerusi Gerakan Kuala Lumpur, Dr Tan Kee Kwong, yang mengemukakan memorandum mengenai perkara itu kepada DBP hari ini, berkata perkataan tersebut dianggap sensitif terhadap masyarakat India dan Cina di Malaysia.

Memorandum tersebut diterima oleh wakil kepada Pengarah DBP Datuk Firdaus Abdullah yang ketika itu tiada di pejabatnya kerana menghadiri satu majlis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

"Kami berharap pengarah (DBP) akan menimbang untuk meminda definasi tersebut atau membuang terus kedua-dua perkataan itu," kata Tan.

Menurutnya, edisi keempat kamus tersebut mengandungi perkataan 'keling' (di muka 719) yang merujuk kepada masyarakat India sedangkan istilah yang betul adalah kalinga. Manakala perkataan 'cinabeng' di muka 280 pula diterangkan sebagai 'sial dan celaka'.

Masalah berinteraksi

"Pengguna akan mengaitkan definasi tersebut dengan masyarakat Cina. Kita tidak mahu masyarakat muda menjadi keliru kerana ini boleh menimbulkan masalah dalam berinteraksi dengan kaum Cina dan India," katanya kepada pemberita.

Menurutnya lagi, perkataan 'keling' sebelum ini pernah dikritik oleh pelbagai kalangan dan "malah Speaker Dewan Rakyat sendiri melarang ahli Parlimen menggunakan perkataan tersebut".

Tan, yang juga anggota Jawatankuasa Terpilih Parlimen Mengenai Integrasi Nasional, berkata penggunaan perkataan secara berterusan boleh menjejaskan perpaduan nasional.

Isu tersebut akan dibangkitkan di perhimpunan agung parti Gerakan hujung minggu ini, katanya.

Setiausaha Perhubungan Pusat, Chan Cheok Wai, Penolong Setiausaha K Supramaniam, dan Pengerusi Biro Kesihatan, Eddie Yaw turut mengurungi Tan ketika menyerahkan memorandum tersebut. Berita asal