Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PULASAN | Jika ia sejenis masakan, hidangan itu boleh dianggap basi dan ada kemungkinan menyebabkan keracunan kepada sesiapa yang memakannya.

Kalau berita, ia sudah tidak lagi mencapai apa-apa syarat untuk ditulis. Ia sudah lewat dan teramat 'basi'. Tiada sesiapa yang berminat untuk mengetahuinya.

Ia kira-kira sama seperti berita mengenai Muhyiddin Yassin dilantik menjadi perdana menteri pada Mac tahun lalu tetapi dilaporkan pada akhir Jan 2021.

Itulah isu pendaftaran pemilih. Mendaftar sebagai pemilih merupakan langkah untuk warganegara Malaysia menunaikan tanggungjawab mereka yang termaktub dalam perlembagaan. Ia langkah awal menentukan masa depan negara.

Pernah suatu ketika dulu ada gerakan giat oleh pelbagai pihak untuk menarik seramai mungkin orang awam menjadi pengundi. Kadang-kadang ia digerakkan oleh parti politik, manakala selebihnya pertubuhan bukan kerajaan yang di belakangnya ada pengaruh politik.

Selebihnya ialah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri.

Proses pendaftaran itu pernah begitu mudah dijalankan. Selain kad pengenalan, apa yang diperlukan oleh pegawai yang mewakili SPR adalah 'bukti' yang kadang-kadang berbentuk lisan saja.

Justeru ia terdedah kepada manipulasi. Maka ada orang yang kad pengenalannya di Teluk Intan misalnya, tetapi menjadi pengundi di Permatang Pasir di Pulau Pinang walaupun dia menyewa rumah di Kepala Batas.

Kemudian proses pendaftaran itu melalui penambahbaikan. Ia tidak susah, tetapi ada syarat tambahan. Di sebalik perlukan pembuktian yang lebih meyakinkan, tetaplah mudah untuk jadi pengundi.

Dalam kedua-dua keadaan itu pun masih ramai orang yang enggan jadi pengundi. Ramai tetap culas mendaftar, terutama orang Melayu. Ketika syarat untuk menjadi pengundi terbentang luas, tetaplah ramai yang buat tidak endah.

Menjadi tuan sampai kiamat

Walaupun tanpa data dari makmal, dipercayai keculasan itu sedikit sebanyak berpunca daripada mentaliti orang Melayu yang berasa mereka kaum yang terpilih, istimewa dan tuan di negara ini. Justeru pergi ke meja SPR untuk mengundi adalah kerja remeh. Ia bukan tugas seorang 'tuan' sebaliknya hamba.

Mana mungkin kaum yang istimewa dan unggul seperti Melayu perlu melakukan kerja-kerja bawahan, kan? Seorang tuan mesti berkelakuan seperti tuan. Misalnya, memberi arahan itu dan ini, atau meminta ini dan itu.

Maka bangsa-bangsa lain yang diratibkan sebagai pendatang pun mendaftarlah. Biasalah, sebagai pendatang mereka perlukan itu dan ini tetapi tidak boleh menjadi tuan. Maka mereka mesti bekerja. Dan salah satu kerja itu ialah mendaftar sebagai pengundi sebelum boleh memilih wakil yang mereka rasa dapat membawa suara masing-masing ke parlimen.

Nah, di situlah ada sekumpulan orang yang otaknya tidak boleh dibersihkan daripada rasa prasangka serta benci mula bekerja. Orang yang menjadi berasa akan kekal menjadi tuan sampai kiamat tanpa perlu berusaha itu menuduh bangsa bukan Melayu sedang cuba menjalankan kerja-kerja jahat.

Mereka yakni orang Melayu itu tidak perlu berbuat banyak. Hanya perlu memaki, menghasut dan menyebarkan kebencian. Lalu mengajak lebih ramai orang Melayu supaya menjadi pembenci.

Mendaftar sebagai pengundi? Kemudianlah. Itu kerja renyah dan tidak layak untuk suatu bangsa yang begitu istimewa bernama Melayu.

Analoginya kira-kira begini: Bayangkan sebuah bangunan usang lagi reput yang menunggu masa untuk rebah. Orang yang berakal sudah tentu akan bingkas meninggalkan bangunan tersebut untuk mencari tempat selamat. Memang itulah yang dilakukan kalau orang itu berakal, kan?

Tiba-tiba dalam keadaan begitu, ramai orang Melayu enggan. Mereka culas bergerak. Atau percaya rumah itu - dengan sekian-sekian ratib, doa, kuliah dan ceramah berapi-api - bangunan itu akan tetap teguh.

Tuhan dirasakan akan tetap bersama mereka di bangunan reput dan rapuh itu.

Maka sebahagian orang yang kepalanya berkarat dengan sentimen perkauman akan segera menyalahkan bangsa-bangsa lain (terutamanya Cina) serta sebahagian Melayu yang bergegas meninggalkan bangunan reput itu.

Orang yang kepalanya berkarat dan terkepung oleh kejahilan dan tetap menganggap Melayu yang istiqamah berteduh di dalam bangunan rapuh itu sebagai wira.

Maka sesiapa saja yang keluar atau cuba mengajak orang lain keluar akan dilabel sebagai dirasuk syaitan, misalnya. Atau laksana anjing dan babi. Sesiapa yang kekal maka dia dianggap bakal melangkah masuk ke syurga dengan sekelip mata.

Kemudian datanglah peruntukan baru yang membolehkan semua warganegara berusia 18 tahun ke atas boleh menjadi pemilih secara automatik. Ia diluluskan di Dewan Rakyat pada pertengahan Julai 2019 dan diterima di Dewan Negara 10 hari kemudian.

Fasa kedaluwarsa

Dengan terpindanya peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan itu, usia pengundi akan menjadi lebih muda. Jika sebelum ini hanya rakyat berusia 21 tahun saja boleh mengundi, Pakatan Harapan (PH) melebarkan pintu demokrasi dengan membenarkan individu berusia 18 tahun pula.

Ia dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya Julai 2021. 'Bola' kini di kaki SPR. Sedangkan SPR ada pengerusi baru.

Hari ini, 27 Jan 2021. Ada kira-kira enam bulan saja lagi untuk ia terlaksana. Namun sekonyong-konyong Abdul Hadi Awang muncul dengan kata-kata hikmahnya mengenai "rasukan syaitan".

Presiden PAS itu bermadah tentang keculasan orang muda Melayu Islam mendaftar sebagai pengundi. Seperti 'antics' yang menjadi identitinya Abdul Hadi menggunakan bidalan dan perumpamaan kasar lagi kotor kepada pihak yang tidak disenanginya.

Maka Abdul Hadi menggelar anak muda Melayu Islam yang 'tidak mendaftar' itu sebagai orang yang dirasuk syaitan. Sama ada disengajakan atau tidak (atau mungkin tidak dinasihatkan, atau mungkin juga mendapat nasihat yang salah) Abdul Hadi mengabaikan kewujudan pindaan perlembagaan tahun lalu.

Pun begitu haluan kenyataan ahli parlimen Marang itu mudah benar diteka. Ia adalah serangan yang sama dan berulang-ulang tetapi menggunakan hujah yang lain.

Namun wajar juga ditanyakan, adakah Abdul Hadi terlupa pada perkembangan semasa? Adakah juga dia yakin orang muda Melayu Islam itu - jika mendaftar seperti kehendaknya - akan mengundi PAS dalam pilihan raya umum akan datang?

Betullah, kalau anak muda Melayu Islam itu mengundi Umno pun, PAS akan suka. Mengundi Bersatu - rasanya - Abdul Hadi lebih suka. Asalkan bukan DAP dan Amanah, PAS akan bahagia.

Di sebalik 'fatwa' itu, ada lagi satu mesej yang dihantar oleh Abdul Hadi. Entah disedari PAS atau tidak, ahli politik veteran itu sebenarnya menunjukkan tanda-tanda dia memasuki fasa kedaluwarsa.

Bagus jika PAS terus dipimpin oleh Abdul Hadi untuk tempoh yang lebih lama.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang tidak pernah gagal mengundi dalam PRU.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS