Perdana Menteri mahu isu perbalahan di antara ahli Parlimen dengan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dihentikan segera kerana ia boleh menimbulkan reaksi tidak baik sama ada di pihak Kastam atau mungkin akan ada pihak tertentu yang tidak senang dengan wakil rakyat di Parlimen yang membangkitkan perkara itu.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata perbuatan tuduh menuduh itu sudah sampai ke tahap yang elok yang diberhentikan.

"Itu pandangan saya kepada mereka sebab sudah banyak perkara yang timbul masa ini," katanya selepas majlis ramah mesra dengan penduduk Pangsapuri Rakyat Sri Perdana, Paroi dekat Seremban hari ini ketika ditanya mengenai isu mempersoalkan kewibawaan KDRM di sidang Dewan Rakyat akhir-akhir ini.

Beliau yakin isu itu akan dapat diselesaikan memandangkan Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sudah maklum mengenainya.

Katanya, walaupun ada kebebasan untuk bercakap tetapi katanya rakyat berharap ahli Parlimen, apabila bercakap, mestilah berasaskan fakta yang tepat dan betul, dengan hujah yang munasabah, yang tinggi mutunya dan "perbincangan mereka itu dengan niat untuk membina dan tidak melanggar prosedur".

Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri berkata, beliau sentiasa menegaskan kepada ahli Parlimen supaya menggunakan kebebasan bercakap di Dewan Rakyat untuk membangkitkan banyak perkara yang ada hubungkait dengan negara, masa depan dan pelbagai aspek pembangunan Malaysia.

Larangan

"Semua mereka sudah faham tetapi nak sebut di sini kalau sesuatu kes itu sudah ada di mahkamah, kes itu janganlah dijadikan tajuk perbincangan, itu akan jadi subjudis, tak boleh.

"Janganlah bawa perkara-perkara yang menyalahi Akta Hasutan, (kerana) ini adalah satu larangan sebab kita tidak mahu nanti berlaku apa-apa hasutan yang menyebabkan nanti akan timbul perasaan tidak senang hati di kalangan kaum-kaum dalam negara," katanya.

Abdullah berkata, ini adalah satu pendekatan yang kerajaan ambil supaya rakyat Malaysia mesti membiasakan diri mengelak menimbulkan perkara yang boleh menyebabkan sakit hati, menimbulkan kemarahan atau reaksi yang tidak baik dalam kalangan masyarakat.

Ditanya mengenai Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang muncul sebagai pemegang saham utama Pantai Holdings dengan pengambilalihan sebahagian kepentingan syarikat itu daripada firma Singapura, Parkway Holdings Ltd, Perdana Menteri berkata: "itu adalah langkah baik yang diambil oleh Khazanah".

Pengambilalihan itu, yang dimeterai oleh syarikat pelaburan milik kerajaan berkenaan dengan Parkway semalam, mengembalikan penguasaan syarikat konsesi itu ke tangan pelabur tempatan.