Pembinaan menara telekomunikasi di NS ditangguh
Kerajaan Negeri Sembilan terpaksa menangguhkan pembinaan menara telekomunikasi di beberapa kawasan di negeri ini susulan terdapat bantahan penduduk yang enggan membenarkan ia dibina berhampiran kawasan perumahan mereka.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata penduduk perlu memahami bahawa pembinaan menara itu bagi menyediakan jaringan telekomunikasi terbaik kepada rakyat selain tidak mahu negeri itu ketinggalan dari segi liputan komunikasi.
“Sehingga kini kerajaan menerusi pihak berkuasa tempatan telah menerima beberapa bantahan daripada penduduk dengan alasan pembinaannya dekat dengan rumah dan bimbang ada radiasi.
“Bagaimanapun, pihak berkaitan sebenarnya telah mematuhi prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan termasuk membinanya dengan jarak melebihi 30 meter dari rumah penduduk,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri, di Seremban, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri juga telah meluluskan lebih 70 permohonan pembinaan menara telekomunikasi di kawasan luar bandar selain beberapa kawasan di bandar termasuk di Seremban, Seremban 2 dan Nilai.
Sementara itu, Aminuddin berkata tiada perarakan sempena sambutan Thaipusam di Negeri Sembilan pada tahun ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 4 Feb ini.
"Kerajaan negeri mengikuti SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara di mana tiada acara perarakan pedati sempena Thaipusam, esok dan hanya ahli jawatankuasa atau petugas kuil dibenarkan hadir ke kuil untuk menjalankan upacara keagamaan,” katanya.
- Bernama

