Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan memandang serius tindakan pihak yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlebihan susulan peningkatan permintaan peralatan elektronik dan komunikasi akhir-akhir ini.

Peningkatan permintaan di pasaran itu didapati berlaku selepas pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ketua pegawai penguat kuasa negeri, Azanizam Affendi Juri, berkata pihaknya mengambil maklum berhubung isu yang dibangkitkan dalam media sosial mengenai kenaikan harga barangan kelengkapan elektronik dan komunikasi berikutan peningkatan permintaan barangan tersebut di pasaran.

Melalui Operasi Catut 8.0 katanya pemeriksaan dilaksanakan terhadap premis jualan barangan tersebut bagi memantau dan mendapatkan maklumat berkaitan harga.

"Operasi ini turut dijalankan bagi mendapatkan justifikasi sekiranya berlaku kenaikan harga di pasaran.

"Dalam tindakan ini lima barangan komunikasi yang merangkumi komputer, komputer riba, tablet, mesin pencetak dan telefon bimbit disasarkan," katanya dalam kenyataan kepada media di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu kerajaan menetapkan murid-murid sekolah rendah dan menengah yang tidak terlibat dengan peperiksaan utama memulakan sesi persekolahan melalui kaedah PdPR bermula 20 Jan lalu.

Susulan itu dilaporkan berlaku permintaan tinggi terhadap kelengkapan komunikasi yang diperlukan oleh golongan pelajar antara lain bagi membolehkan mereka mengikuti kelas secara dalam talian.

Sementara itu Azanizam berkata, dalam operasi yang diadakan di seluruh daerah itu pihaknya mengeluarkan enam notis kepada peniaga bagi mendapatkan maklumat harga mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Sehubungan itu, KPDNHEP Kelantan menasihati peniaga-peniaga terlibat supaya sentiasa memastikan persekitaran perniagaan yang kondusif dan harmoni.

"KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mengambil kesempatan menaikan harga barangan sesuka hati demi mengaut keuntungan berlebihan.

"Kegagalan mematuhi akta kawalan harga boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," tegasnya.