Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KPJ, Lablink sedia kerjasama isu pemalsuan ujian saringan Covid-19
Diterbitkan:  Jan 28, 2021 3:33 PM
Dikemaskini: 7:33 AM

KPJ Healthcare Bhd (KPJ) dan makmal patologi kumpulannya, Lablink (M) Sdn Bhd, hari ini menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa yang menyiasat sindiket penjualan slip ujian saringan Covid-19 palsu.

Dalam satu kenyataan, KPJ memaklumkan pihaknya telah dimaklumkan mengenai laporan di mana slip ujian Covid-19 palsu atau dipalsukan dengan menggunakan kepala surat Lablink yang cuba digunakan untuk melakukan perjalanan rentas sempadan dikesan pihak berkuasa Malaysia.

"KPJ dan Lablink ingin menegaskan bahawa ini adalah dokumen palsu dan siasatan dalaman mengesahkan bahawa semua dokumen ini tidak dikeluarkan oleh Lablink.

"KPJ dan Lablink memandang serius perkara ini dan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memudahkan siasatan mereka," kata kumpulan itu.

"Semua ujian Lablink Covid-19 dilakukan secara sistematik, teratur dan beretika dan hasilnya dihantar secara teratur dan rahsia kepada pesakit dan pelanggan berdasarkan protokol yang ketat dan jelas," tambahnya.

Slip ujian saringan palsu yang kononnya dikeluarkan oleh KPJ Hospital, Lablink atau BP Healthcare dilaporkan dijual dengan harga hingga RM300 kepada warga asing yang ingin pulang ke negara asal.

Bernama semalam melaporkan bahawa penemuan slip ujian Lablink palsu susulan penangkapan dua warga asing pada 20 Januari selepas mereka memberikan keputusan ujian saringan Covid-19 yang meragukan di kaunter pendaftaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Penangkapan kedua-dua lelaki berusia 28 dan 37 tahun itu kemudian melumpuhkan sindiket yang mensasarkan rakan senegara mereka yang beroperasi sejak Ogos lalu.

Ketua polis KLIA Imran Abdul Rahman dilaporkan mengatakan polis juga menahan seorang lagi anggota sindiket di Taman Tampoi Indah, Johor Baru, yang membawa kepada penahanan dalang mereka, seorang lelaki berusia 27 tahun yang berpusat di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Lihat Komen
ADS