Pantai Holdings: kjaan akui kesilapannya, kata Husam
Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menyifatkan langkah Khazanah Nasional Bhd membeli semula saham Pantai Holdings oleh Khazanah Nasional Bhd, yang sebelum ini dikuasai oleh syarikat Singapura, sebagai pengakuan terbuka kesilapan Menteri Kewangan meluluskan penjualan saham majoriti syarikat itu kepada pihak asing September tahun lalu.
Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menyifatkan langkah Khazanah Nasional Bhd membeli semula saham Pantai Holdings oleh Khazanah Nasional Bhd, yang sebelum ini dikuasai oleh syarikat Singapura, sebagai pengakuan terbuka kesilapan Menteri Kewangan meluluskan penjualan saham majoriti syarikat itu kepada pihak asing September tahun lalu.
"Jika tidak apa perlunya pembelian semula itu dilakukan," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Khazanah Nasional muncul sebagai pemegang saham utama Pantai Holdings dengan pengambilalihan sebahagian kepentingan syarikat itu daripada firma Singapura, Parkway Holdings Ltd. (Parkway).
Pengambilalihan itu, yang dimeterai oleh syarikat pelaburan milik kerajaan tersebut dengan Parkway kelmarin, telah mengembalikan penguasaan syarikat konsesi itu ke tangan pelabur tempatan.
Husam berkata, kesilapan tersebut berbangkit kerana, antara lain, dua anak syarikat Pantai terlibat dengan program pengswastaan dan di bawah peraturan sedia ada, tidak ada syarikat yang mendapat konsesi pengswastaan dibenarkan terlepas kepada pihak asing.
Beliau berkata, penjualan saham sebesar itu memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan dan sehubungan itu, Ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan itu turut membangkitkan persoalan siapakah yang bertanggungjawab.
"Jika kesilapan telah diakui melalui langkah pembetulan ini, maka seseorang di Kementerian Kewangan harus bertanggungjawab.
"Saya rasa kesilapan ini seperti disengajakan dan oleh kerana perkara ini telah menjadi satu isu, maka langkah diambil untuk membetulkan kesilapan tersebut," katanya.
Konsep tanggungjawab
Oleh itu, katanya, di bawah konsep tanggungjawab atau akauntabiliti, Perdana Menteri perlu mengambil tindakan tertentu sehingga kelulusan tersebut telah diberi sehingga satu langkah pembetulan terpaksa dilakukan.
Malangnya, kata Husam lagi, walaupun kerajaan cuba menggambarkan satu langkah pembetulan telah dibuat, namun pembetulan itu adalah pincang.
"Parkway, selain mendapat pembayaran sejumlah RM357 juta atas kadar RM2.65 sesaham bagi 134.7 juta saham, telah diberi peluang untuk memiliki semula saham sebanyak 49% dalam syarikat Pantai Irama Ventures yang memiliki saham dalam Pantai serta diberi hak pengurusan Pantai selama 15 tahun.
"Ini bermakna, Parkway menguasai pengurusan Pantai dan pada masa yang sama, terus memilik saham Pantai. Transaksi ini nampaknya sekali lagi menguntungkan Parkway," tambah Husam.
Sesungguhnya, kata Husam, Perdana Menteri harus dipertanggungjawabkan dengan apa yang berlaku dan penjelasan sepenuhnya dari kerajaan harus diberikan kepada rakyat.
Menurut laporan media, Pantai Holdings menguasai dua konsesi kerajaan, Fomema dan Pantai Medivest. Fomema memegang hak monopoli terhadap pemeriksaan perubatan mandatori bagi semua pekerja asing di negara ini.
Manakala Pantai Medivest pula menyediakan perkhidmatan sokongan bagi semua hospital serta klinik kerajaan di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Melalui pembelian balik oleh Khazanah itu, urusniaga tersebut menyaksikan anak syarikat milik penuhnya Pantai Irama Ventures Sdn Bhd (Pantai Irama) menandatangani perjanjian jual-beli bersyarat dengan Parkway dan anak syarikatnya, Swiss Zone Sdn. Bhd. (Swiss Zone), bagi mengambilalih 134.7 juta saham Pantai Holdings pada harga RM2.65 sesaham.
Pantai Irama dianggarkan membayar sebanyak RM356.955 juta bagi membeli saham-saham tersebut.
Kenyataan Khazanah
Parkway pula kemudiannya akan membeli 49 peratus kepentingan dalam Pantai Irama dengan meletakkan saham-saham Pantai Holdings pada harga yang sama iaitu RM2.65 sesaham, kata Khazanah dalam kenyataannya kelmarin.
Selain itu, Pantai Irama turut membeli secara langsung lebih 30.92 juta saham-saham Pantai Holdings yang mewakili 6.6 peratus kepentingannya, dipercayai di pasaran terbuka pada harga antara RM2.30 hingga RM2.40 sesaham atau kira-kira RM72 juta.
Ia bermakna Khazanah membelanjakan lebih RM429 juta bagi menguasai kira-kira 35 peratus kepentingan dalam Pantai Holdings, tanpa mengambil kira pelaburan semula Parkway di dalam Pantai Irama.
September lalu, Parkway membeli 31 peratus Pantai Holdings pada harga RM311.8 juta.
Sebahagian besarnya, 89.7 juta, dibeli secara langsung oleh Parkway daripada Ketua Eksekutif Kumpulan Pantai Holdings, Lim Tong Yong pada harga RM2.45 sesaham manakala kira-kira 35 juta saham lagi diperoleh di pasaran terbuka pada harga RM1.70 sesaham.
Dalam kenyataannya, Khazanah juga menyatakan, syarikat itu, Pantai Irama, Parkway dan Swiss Zone turut menandatangani Perjanjian Pemegang Saham yang menetapkan bahawa Khazanah akan memegang kepentingan majoriti dalam Pantai Holdings.
Calon pengerusi
Katanya, Khazanah akan memiliki ekuiti majoriti manakala tanggungjawab operasi dan pengurusan untuk hospital akan dikendalikan melalui kontrak pengurusan yang akan ditandatangani dengan Parkway kelak, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Pantai Holdings.
"Khazanah menerusi Pantai Irama akan menamakan calon pengerusi bagi Pantai Holdings manakala ketua pegawai eksekutif akan dipilih secara bersama oleh Khazanah dan Parkway menerusi Pantai Irama," katanya lagi.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Azman Mokhtar dalam kenyataan itu berkata, pihaknya telah mengenal pasti sektor penjagaan kesihatan sebagai sektor strategik untuk sayap pelaburan kerajaan itu melabur di rantau ini.
"Pelaburan dalam Pantai Holdings mewakili asas yang kukuh untuk kami dalam segmen hospital Malaysia dan menyokong pelaburan sedia ada Khazanah dalam penjagaan kesihatan dan sektor berkaitan di Malaysia dan rantau ini,'' katanya.
Selain Fomema dan Pantai Medivest, Pantai Holdings turut mengendalikan tujuh buah hospital di negara ini.
Tambah beliau, Khazanah telah mengadakan rundingan dengan Parkway sejak setahun lalu mengenai bagaimana kedua-dua pihak boleh meneroka sektor tersebut secara bersama.
Jelas Azman, dengan Parkway menjadi rakan kongsi operasi dalam Pantai Irama, Khazanah yakin Pantai Holdings akan membangun sebagai pengendali penjagaan kesihatan utama di Malaysia dengan hubungan kukuh di rantau ini.

