Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perlis benarkan jemaah maksimum sembahyang fardu di masjid mulai esok

Bermula esok, Perlis membenarkan kehadiran jemaah solat fardu di masjid mengikut kapasiti maksimum masjid berkenaan sepanjang tempoh pelaksanaan perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah perkara itu telah mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berikutan situasi semasa penularan Covid-19 di negeri itu semakin terkawal.

“Bermula waktu subuh esok (29 Jan) hingga waktu isyak pada 4 Feb atau sehingga tempoh baharu yang mungkin dikeluarkan, masjid dibenarkan menerima kehadiran maksimum ahli jemaah dengan kapasiti maksimum mengikut saiz masjid,” titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.

Baginda selaku Yang DiPertua MAIPs bertitah kebenaran itu terpakai di masjid dan surau asrama dan jemaah pula hendaklah terdiri daripada mereka dalam kalangan kariah sahaja berusia 15 hingga 59 tahun.

Tuanku Faizuddin bertitah aktiviti berkumpulan sama ada kelas, pengajian dan sebagainya selain solat Jumaat dan solat fardu buat masa ini tidak dibenarkan manakala aktiviti di surau juga masih ditangguhkan.

"Adalah diingatkan kepada seluruh rakyat, agar sentiasa mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang telah ditetapkan," titah baginda.

-Bernama

Lihat Komen
ADS