Sejumlah pihak mengkritik Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob kerana membenarkan pengurusan pangsapuri untuk meminta penduduk menunjukkan keputusan ujian Covid-19 dan melarang mereka yang gagal daripada masuk ke premis.
Ahli Parlimen pembangkang dan pakar kesihatan menyuarakan kebimbangan yang dasar itu boleh mencetuskan diskriminasi dan mereka yang tidak mampu membuat ujian hilang tempat tinggal, di saat tiada tempat untuk mereka di pusat kuarantin kerajaan.
NGO yang mewakili pengurusan pangsapuri pula berkata tiada asas perundangan terhadap ketetapan seumpama itu.
"Ini memang salah sama sekali, ia mendiskriminasi. Orang yang positif mahupun yang menjalani kuarantin akan berakhir di jalanan kerana tiada tempat di hospital," kata Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.
"Tiada asas undang-undang untuk menghalang orang daripada masuk ke rumah sendiri," katanya lagi.
Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil pula menggesa kerajaan menilai semula ketetapan itu.
"Menteri kata penyewa boleh diarah badan pengurusan bersama (JMB) atau persatuan penduduk untuk jalani ujian Covid-19, tetapi bayaran tinggi (kira-kira RM100 hingga RM140 untuk ujian RTK-Antigen dan antara RM200 hingga RM300 untuk ujian PCR).
"Justeru macam mana warga B40 mampu nak balik rumah (dengan buat ujian)? Dasar ini harus dikaji semula, jika tidak ia mungkin akan menganiaya golongan kurang berkemampuan," katanya.
Katanya lagi, pihak pangsapuri perlu merangka peraturan itu menerusi mesyuarat agung luar biasa (EGM) - seperti dinyatakan dalam Akta Pengurusan Strata 2013 - sebelum melaksanakannya, tetapi ia tidak boleh diadakan ketika penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
"Jadi bagaimana arahan ini dapat dilaksanakan oleh JMB atau pengurusan secara sah? Adakah menteri sedar tentang ini?" soalnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh membidas kenyataan Ismail yang menurutnya akan menyusahkan penyewa.
"Geramnya. Bilakah menteri akan gunakan sains untuk mentadbir dengan baik? Covid-19 tiada diskriminasi - antara pemilik dan penyewa, warga Malaysia dan warga asing, rakat dan menteri.
Semalam, Ismail Sabri berkata pengurusan pangsapuri dan petempatan dibolehkan membuat peraturan seumpama itu demi menjamin keselamatan penduduk.
"Demi untuk menjaga keselamatan penghuni, maka pihak pengurusan kondominium atau apartmen boleh buat peraturan seperti itu... kerajaan tidak menghalang mereka," katanya.
Terdahulu, beberapa pangsapuri dilaporkan mewajibkan para penduduk membuat ujian Covid-19.
Bagaimanapun beberapa pakar berkata mereka tiada hak di sisi undang-undang untuk berbuat demikian.
Langkah itu turut dikecam pakar kesihatan awam yang berkata ia tidak membantu dalam mengekang wabak.
"Jika nak penduduk buat ujian, ingat bahawa anda perlu buat ujian ulangan. Jika positif, anda nak larang mereka untuk jalani kuarantin di rumah, bukan?" soal bekas timbalan pengarah kesihatan Dr Christopher Lee.
Katanya, langkah lebih baik buat pengurusan pangsapuri adalah menjamin pematuhan SOP di kawasan umum, bukannya meminta penduduk membuat ujian sebagai jalan keluar mudah.
Dr Sherrini Ahmad pula mempersoalkan bagaimana JMB merangka peraturan berkaitan Covid-19.
"Saya pekerja kesihatan. Jadi saya perlu buat ujian setiap tiga hari atau setiap minggu? Kerana kerja, saya berisiko tinggi. Apa makna ujian saya terhadap penduduk lain?" soalnya.
Dia juga mempersoal sama ada kemudahan kuarantin pada masa ini cukup menempatkan mereka yang dilarang masuk ke rumah.
Dalam satu kenyataan bersama, NGO yang mewakili pengurus kemudahan dan hartanah berkata undang-undang sedia ada tidak membenarkan badan pengurusan pangsapuri berbuat demikian.
"Pada masa ini tiada peruntukan undang-undang untuk pengurusan mengambil tindakan itu dan kami mengesyorkan ahli kami dan semua pihak yang berkaitan, termasuk JMB untuk tidak berbuat demikian.
"Kecuali jika ada arahan dalam bentuk SOP rasmi oleh Majlis Keselamatan Negara dan/atau Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Pengurus hartanah dan JMB perlu mendapat pandangan undang-undang dahulu sebelum berbuat demikian," kata NGO itu.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden Institut Pengurus Harta dan Fasiliti (MIPFM) Adzman Shah Mohd Ariffin, Bahagian Juruukur Hartanah dan Persatuan Jurunilai Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM), dan Presiden Pengurus, Agen dan Perunding Hartanah Sektor Swasta Malaysia (Peps) Michael Kong.
Ismail: Mungkin Yeoh, Fahmi pejuang warga asing
Ismail Sabri bagaimanapun mempertahankan kenyatannya dan membidas Ahli Parlimen pembangkang yang mempersoalkannya.
Menurutnya, kenyataan Yeoh dan Fahmi "menyimpang".
"Tiada arahan daripada MKN untuk mewajibkan penyewa, termasuk warga asing, atau pelawat untuk buat ujian swab...Namun kawasan perumahan atau kondominium adalah kawasan persendirian yang mana pengurusan boleh buat peraturan dalam kawasan mereka.
"Malah mereka boleh buat peraturan menyekat pelawat, contohnya di Sarawak di mana orang luar tidak dibenarkan melawat rumah panjang," katanya di Twitter.
Menegaskan pengurusan berhak untuk menetapkan penyewa warga asing membuat saringan, Ismail mempersoalkan sama ada Yeoh dan Fahmi adalah "pejuang" mereka.
"Bagi Yeoh dan Fahmi, mereka ini merupakan pejuang warga asing. Bagi mereka kos yang ditanggung warga asing untuk saringan Covid-19 lebih berharga daripada nyawa rakyat Malaysia.
"Mungkin mereka ini wakil rakyat warga asing, bukan rakyat Malaysia," katanya.
