story image
mk-logo
Berita
Annuar Musa nafi langgar SOP: ‘Kebetulan bertemu di tengah jalan’
Diterbitkan:  Jan 29, 2021 8:24 AM
Dikemaskini: 8:57 AM

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa menafikan dia melanggar prosedur operasi piawai (SOP) ketika bersenam.

“Masih banyak tak faham ke? Mask (pelitup muka) tidak digalak pakai semasa riadah. Doktor dah nasihat berkali kali.

“Ketiga tiga berjalan berasingan dari rumah mereka. Laluan berlainan, kebetulan bertemu,” katanya kepada Malaysiakini.

Annuar semalam memuat naik gambar dia berjalan bersama bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Nordin Razak dan Nik Aminaldin Nik Jaafar.

Pengguna maya dan pemimpin pembangkang menghentam pemimpin Umno itu atas dakwaan melanggar SOP ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kegiatan berjoging setakat ini hanya dibenarkan di sekitar kawasan rumah dengan berseorangan atau berdua sahaja.

Pengguna media sosial mengkritik tindakan Annuar yang menyiarkan gambarnya berjalan dalam kumpulan secara bertiga ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Di bawah PKP, hanya dua jenis aktiviti luar yang dibenarkan - berjoging dan berbasikal. Mereka yang ingin berjoging boleh secara sendirian atau berpasangan di kawasan perumahan mereka.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengatakan hanya anggota keluarga dari rumah yang sama boleh bersenam di luar rumah, namun, syarat ini tidak dinyatakan dalam garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Semua negeri kecuali Sarawak kini berada di bawah PKP.

Semalam, Annuar dalam ciapannya memuat naik gambar dia berjalan di luar bersama dua individu lain di lokasi yang tidak didedahkan.

"Pagi ini (bersama) mantan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Nordin Razak dan Nik Aminaldin Nik Jaafar," ciapnya.

Nik Aminaldin adalah bekas bendahari Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) ketika badan itu diketuai oleh Annuar.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS