Menjelang sambutan hari Kemerdekaan esok, seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) berkata pertelingkahan di kalangan parti komponen BN akhir-akhir ini, akibat kenyataan yang didakwa berbau perkauman, telah membawa negara ini mundur ke zaman sebelum Merdeka.

"Kita sentiasa bercakap mengenai Merdeka dan sambutan hari Merdeka begitu hampir, tetapi kita masih bertelingkah seolah-olah kita masih lagi berada di zaman sebelum Merdeka," kata Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Chia Kwang Chye dalam interview ekslusif dengan malaysiakini di Bangunan Parlimen Isnin lalu.

Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas mengenai perang mulut dalam BN ekoran kenyataan yang didakwa berbau perkauman yang dibuat oleh seorang pemimpin Pemuda Umno baru-baru ini.

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan pemimpin MCA dan Gerakan selepas beliau secara terbuka menyatakan dalam mesyuarat perwakilan pergerakan itu bahawa masyarakat Cina Malaysia akan mengambil kesempatan daripada kelemahan Umno untuk kepentingan mereka.

Khairy, yang juga menantu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bertegas dengan kenyataan itu dan berhujah bahawa sebarang tindakan mempertahankan maruah agama dan kepentingan kaum' tidak memerlukan pemohonan maaf.

Mengulas lanjut mengenainya, Chia yang juga Timbalan Menteri Penerangan berkata, sambutan hari Kemerdekaan bukanlah 'sekadar mengibarkan bendera, mengangkat tangan dan melaungkan Merdeka', tetapi ia patut diamalkan dalam erti kata sebenarnya.

"Kita sebenarnya telah berundur ke belakang...sepatutnya ditolak 10 tahun Merdeka, bukannya 49 tahun Merdeka...inilah bagaimana sebenarnya tingkahlaku kita dan saya rasa ianya salah, kita perlu maju kehadapan," tambahnya.

Malaysia akan menyambut hari Kemerdekaan ke-49 esok.

Pendekatan ala Malaysia

Sementara itu, setiausaha agung Gerakan itu berkata partinya akan terus mengamalkan 'pendekatan ala Malaysia' untuk menarik lebih ramai penyokong yang menyokong konsep 'majmuk' dalam parti politik dan berharap pengaruh parti-parti yang berunsurkan kaum akhirnya akan pudar.

"Kita boleh mempunyai situasi di mana parti yang berunsur perkauman menjadi begitu kuat sekali (dan) kita bimbang sama ada kita boleh menjadi sebuah negara yang aman dan bersatu padu," tegasnya.

Gerakan adalah sebuah parti komponen BN yang mempunyai ahli pelbagai kaum tetapi didominasi oleh kaum Cina Malaysia, sedangkan parti komponen utama BN yang lain termasuk Umno, MCA dan MIC masing-masing mewakili kaum Melayu, Cina dan India.

Gerakan akan mengadakan persidangan perwakilan peringkat kebangsaan hujung minggu ini. Persidangan Pemuda dan Wanita bermula Jumaat ini.

Persidangan utamanya pada hari Sabtu dan Ahad yang akan menyaksikan empat pindaan perlembagaan sebagai persediaan terhadap peralihan pucuk pimpinannya.

Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik telah mengumumkan akan melepaskan jawatannya tahun depan dan menyerahkannya kepada Timbalannya, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (foto), yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Beliau (Lim) sudah bersedia (untuk bersara). Kita tidak menjangka sebarang masalah dalam peralihan pucuk pimpinan, itulah keyakinan kita," tegas Chia, sambil menambah, jawatankuasa pusat Gerakan telah memutuskan Lim akan terus memegang jawatan menteri walaupun selepas persaraannya nanti.

Dr Koh sehingga ini masih membisu mengenai rancangannya apabila mengambil alih jawatan presiden parti itu.

Menurut Chia, parti itu telah memulihkan perpaduan di kalangan ahlinya setahun selepas pemilihan pucuk pimpinan Gerakan yang menyaksikan berlakunya perpecahan di antara penyokong Datuk Kerk Choo Ting yang mencabar Lim bagi jawatan presiden. Lim berjaya mengekalkan jawatannya.

Chia juga menafikan wujudnya usaha untuk mengenepikan Kerk yang ketika itu menyandang jawatan timbalan presiden.

"Kerk masih ahli Gerakan dan seorang ahli Parlimen. Beliau menghadiri mesyuarat parti di Johor dan memang telah menjadi tradisi parti Gerakan untuk turut memberi tempat kepada mereka yang tidak bersetuju dengan pucuk pimpinan," tambah Chia. Berita asal

Esok: Nasihat saya kepada orang Melayu Pulau Pinang