Mara akan mengutip pinjaman pelajaran yang gagal dilunaskan melalui pemotongan simpanan Akaun Dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) peminjam terbabit.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Khamsiyah Yeop berkata, Mara telah berunding dengan KWSP untuk tujuan tersebut.

Beliau menegaskan demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2006) 2006 bagi kementerian itu di sidang Dewan Rakyat hari ini.

KSWP, tambahnya, sedang meneliti perkara itu dan ia mungkin dilaksanakan mulai tahun ini.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, sehingga April tahun ini, sebanyak RM298 juta pinjaman pelajaran belum dibayar.

Khamsiyah berkata, tindakan Mara menyiarkan nama peminjam melalui akhbar tempatan telah berjaya meningkatkan jumlah pembayaran balik pinjaman pelajaran itu.

"Tindakan Mara siarkan nama peminjam yang tidak membayar pinjaman dapat meningkatkan jumlah pembayaran balik pinjaman sebanyak 25 peratus iaitu setelah enam bulan disiarkan, peningkatan sebanyak 40 peratus selepas setahun disiarkan dan selepas enam tahun, bilangan peminjam yang membayar pinjaman telah meningkat kepada 88 peratus," katanya.

Menurutnya, sehingga 12 Mac lalu, sebanyak 5,760 nama peminjam yang gagal membayar pinjaman telah disiarkan melalui akhbar dan daripada jumlah itu seramai 3,328 peminjam telah membayar balik pinjaman mereka.

"Mara telah berjaya mengutip bayaran balik pinjaman (daripada 3,328 peminjam) dengan jumlah kutipan sebanyak RM44 juta sehingga 30 Mac 2006," katanya.