Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Puluhan termasuk bayi dihantar ke hospital selepas dijangkiti Covid-19
Diterbitkan:  Feb 2, 2021 12:51 PM
Dikemaskini: 4:54 AM

Sejumlah 61 penghuni, termasuk 22 bayi, daripada rumah perlindungan Baitus Solehah dihantar ke dua hospital di Johor untuk menjalani kuarantin Covid-19.

Pengasas rumah perlindungan itu, yang dikenali sebagai Mak Liza berkata, seramai 38 daripada 40 penghuni positif Covid-19 pada 30 Jan.

Tujuh daripada mereka ditempatkan di Hospital Kluang dan selebihnya ke Hospital Permai di Johor Bahru.

Mak Liza yang menguruskan wanita muda yang memerlukan tempat perlindungan, bayi yang dijangkiti dihantar bersama ibunya untuk menjalani kuarantin di hospital.

“Terasa amat sunyi bila selalu ramai.

“Hari ini cuma tinggal berbaki sembilan orang ibu dan lapan bayi, yang baki ini pun menunggu keputusan ujian saringan (Covid-19),” katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebook.

“Sedih dan pilu bila mereka dibawa pergi,” tambahnya.

Hal ini berlaku di tengah-tengah kemunculan tiga kluster rumah jagaan warga emas di Johor, Selangor dan Kuala Lumpur sejak dua hari lalu.

Sementara itu, Mak Liza berkata dia sentiasa bertegas berhubung prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 bagi mengekang wabak itu di rumah perlindungan namun terpaksa mengakui ia tidak cukup untuk membendung penularan.

Dia turut menggesa mereka yang menonton video penghuni rumah perlindungan itu bergurau sesama sendiri ketika dibawa ke hospital agar tidak salah faham.

Tambahnya, video itu dibuat untuk menaikkan semangat mereka yang terkesan akibat wabak itu serta mengurangkan tekanan.

“Allah beri ujian kepada kami untuk kami bersatu dan mengeratkan lebih kasih sayang.

“Sama-sama ketawa dan sama-sama menangis,” tambahnya.

Lihat Komen
ADS