PM gesa rakyat pelihara perpaduan kaum
Rakyat Malaysia menyambut ulangtahun kemerdekaan ke-49 hari ini dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa mereka supaya mengelak melakukan sesuatu yang boleh menggugat perpaduan dan kerjasama antara kaum.
Rakyat Malaysia menyambut ulangtahun kemerdekaan ke-49 hari ini dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa mereka supaya mengelak melakukan sesuatu yang boleh menggugat perpaduan dan kerjasama antara kaum.
Dalam perutusannya yang disiarkan menerusi radio dan televisyen malam tadi, Abdullah menggesa rakyat majmuk di negara ini supaya menghormati serta bekerjasama antara satu sama lain.
"Perpaduan rakyat Malaysia menjadi kekuatan kepada kita, pastikanlah, kekuatan itu (terus) menjadi milik kita pada hari ini. Muafakat yang elok, kerjasama kukuh dan berkesan, ini adalah amat perlu," ujarnya dalam laporan Bernama..
AFP melaporkan peringatan itu itu dibuat ekoran kenyataan kontroversi oleh menantunya, Khairy Jamaluddin, yang juga Naib Ketua Pemuda Umno awal bulan bahawa masyarakat Cina akan merebut peluang untuk membuat tuntutan sekiranya Umno, selaku tunggak kerajaan, lemah.
Kenyatannya itu telah mencetuskan bantahan oleh MCA, salah parti komponen utama dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) dan menuntut Khairy supaya memohon maaf.
Malaysia pernah dilanda insiden berdarah 13 Mei 1969 yang dicetuskan oleh persaingan politik dan rasa tidak puashati berhubungketaksamaan kedudukan ekonomi antara rakyat berbilang kaum di negara ini.
Merujuk kepada insiden itu, Abdullah mengingatkan rakyat Malaysia agar mengambil iktibar daripada titik hitam dalam sejarah negara itu dan mengelak melakukan sesuatu yang boleh menggugat perpaduan dan kerjasama antara kaum.
Politiking berbau perkauman
Rakyat, katanya, harus mengelak melakukan apa jua perbuatan yang merosakkan permuafakatan kerana ia akan menghakis dan menghilangkan kekuatan negara.
Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, dalam satu kenyataan semalam, berkata sambutan hari kemerdekaan telah "dicemarkan oleh politiking berbau perkauman yang tidak bertanggungjawab".
Katanya, Abdullah telah berikrar "untuk menjadi Perdana Menteri kepada semua kaum dan bukan untuk satu kaum ashaja, meminta rakyat Malaysia bekerja dengannya dan bukan bekerja untuknya."
Walaupun kerajaan berjaya mengekalkan keharmonian rakyat tetapi turut menyuara kebimbangannya terhadap kurangnya perpaduan sosial dan peningkatan polarisasi kaum.
Abdullah sebelum ini telah menasihatkan semua parti politik supaya berhenti membangkitkan isu-isu sensitif yang berkaitan dengan bangsa dan agama.
Beliau juga telah mengarahkan supaya dihentikan perbincangan mengenai isu-isu berkaitan agama yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.
Sambutan di Kuching
Sementara itu, Bernama melaporkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-49 peringkat kebangsaan berlangsung dengan acara perbarisan dan perarakan membabitkan segenap lapisan rakyat berbilang kaum dan agama yang disiarkan secara langsung dari Padang Merdeka di Kuching, Sarawak.
Sambutan tahun ini mengekalkan tema utama "KeranaMu Malaysia" yang menggambarkan rasa syukur rakyat berbilang kaum dan agama atas nikmat keamanan dan pencapaian pesat negara, sambutan Hari Kemerdekaan kali ini mengetengahkan sub-tema "Misi Nasional Penjana Wawasan" bertujuan menghayati lima teras utama RMK-9.
Ketibaan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid pada jam 7.45 pagi disambut oleh Menteri Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Perayaan Bulan Kemerdekaan 2006 dan isteri, Datin Masnah Rais.
Berada di pentas utama menunggu ketibaan Seri Paduka berdua ialah Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, anggota Kabinet Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Sambutan Hari Kemerdekaan ke-49 bermula dengan acara menaikkan Jalur Gemilang dan nyanyian lagu NegaraKu yang diiringi dengan tembakan meriam sebanyak 14 das. Ini diikuti dengan lagu "Jalur Gemilang" dan "KeranaMu Malaysia".
Manakala persembahan padang pula dijayakan oleh 3,200 pelajar sekolah sekitar Kuching dan Samarahan yang membuat formasi serta gerak geri kreatif yang menonjolkan lima teras Rancangan Malaysia Kesembilan bertemakan "Misi Nasional Penjana Wawasan".
Persembahan padang itu diiringi kumpulan koir seramai 2,100 anggota gabungan pelajar institut perguruan dan pelajar 16 sekolah menengah yang selain menyanyikan lagu-lagu patriotik turut membuat paparan "human graphics".
Perarakan pula disertai 17 kereta berhias yang mewakili kerajaan, institusi pendidikan, pertahanan dan sektor swasta. Turut ditampilkan ialah pelbagai jenis kenderaan yang menjadi tulang belakang pertahanan dan keselamatan negara.
Kontinjen terakhir ialah Pasukan Berkenu ATM yang telah berjaya merentasi Laut China Selatan sejauh 727km selama 17 hari mulai 9 hingga 26 Ogos, yang kejayaannya dicatat dalam "Malaysia Book of Records".


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.