Melayu Pulau Pinang diminta sertai bidang pelancongan
Orang Melayu Pulau Pinang yang mendakwa telah dipinggirkan oleh kerajaan negeri yang diterajui oleh parti Gerakan, mesti memanfaatkan sepenuhnya peluang ekonomi yang ada pada mereka, kata Setiausaha Agung parti itu, Datuk Chia Kwang Chye.
Orang Melayu Pulau Pinang yang mendakwa telah dipinggirkan oleh kerajaan negeri yang diterajui oleh parti Gerakan, mesti memanfaatkan sepenuhnya peluang ekonomi yang ada pada mereka, kata Setiausaha Agung parti itu, Datuk Chia Kwang Chye.
Beliau yang disebut-sebut berpotensi menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang itu, berkata negeri itu banyak bergantung kepada sektor pelancongan dan industri untuk survival ekonominya.
"Pulau Pinang merupakan sebuah negeri yang kekurangan sumber tanah, hasil galian dan tentunya tidak mempunyai sumber minyak. Ia juga amat lemah dari segi pertanian, tanaman kelapa sawit dan getah," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang Melayu Pulau Pinang supaya membabitkan diri dalam industri pelancongan sewaktu negara sedang menjadi tumpuan pelancong dari negara-negara Arab.
"Saya fikir orang Melayu sudah bersedia untuk membabitkan diri dalam industri ini bagi pasaran negara-negara Arab," kata Chia dalam wawancara ekslusif dengan malaysiakini di Bangunan Parlimen Isnin lalu.
"Saya melihat sektor pelancongan, terutama yang membabitkan negara-negara Arab, sebagai satu peluang bagi mereka dan oleh itu, kita perlu memajukan bidang ini, dan bukannya terus dengan pemikiran tradisional mengenai pertanian kerana ini adalah Pulau Pinang bukan Kedah, Perak atau Johor, di mana mereka boleh mengusahakan tanaman kelapa sawit atau membuka tanah rancangan Felda," tegasnya.
Sejak sebulan lalu, kerajaan negeri Pulau Pinang menjadi sasaran kritikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno bahagian. Mereka mendakwa, kerajaan negeri telah meminggirkan kemajuan orang Melayu dalam bidang ekonomi.
Berikutan itu, mereka menggesa supaya jawatan ketua menteri, yang pada masa ini disandang oleh Timbalan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, digilirkan antara parti-parti komponen BN. Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menolak kemungkinan itu.
Penduduk Pulau Pinang seramai 12 juta orang terdiri daripada kira-kira 60 peratus kaum Cina, 32 peratus kaum Melayu dan tujuh peratus kaum India.
Gesaan 'biasa'
Dalam wawancara tersebut, Chia menolak cadangan Pemuda Umno supaya jawatan ketua menteri digilirkan antara parti komponen BN.
"Ia bukan sesuatu yang baru bagi kita...kita menganggapnya sebagai satu gesaan 'biasa'," katanya.
Chia dianggap sebagai calon Ketua Menteri selepas Dr Koh mengambil alih jawatan Presiden Gerakan apabila Presidennya sekarang, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, melepaskan jawatan tersebut.
Dr Koh, yang telah menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang sejak 15 tahun lalu, dijangka berpindah memegang jawatan di peringkat pusat.
Ditanya sama ada beliau berminat memegang jawatan tersebut, Chia berkata: "Cara yang biasa dan cara yang betul untuk menjawabnya ialah dengan mengatakan 'tunggulah hingga tiba masanya'...memandang masanya belum tiba, maka ia tidak dapat dijawab...kalau tidak, anda akan dianggap seperti berangan-angan...dan itu dilihat tidak elok," katanya.
Chia memulakan karier politiknya sebagai pembantu sambilan Dr Koh yang ketika itu menjadi ahli Parlimen Tanjong. Chia, anak kelahiran Johor, telah menetap di Pulau Pinang selepas berpindah ke negeri itu pada 1972 untuk melanjutkan pengajiannya di peringkat ijazah di sebuah universiti tempatan.
Selain Chia, dua lagi pemimpin yang dianggap berpotensi dilantik menjadi Ketua Menteri ialah Naib Presiden Gerakan, Dr Teng Hock Nan, 60, dan Ahli Jawatankuasa Pusat, Lee Kah Choon, 46.
Miliki media?
Sementara itu, Chia, yang juga Timbalan Menteri Penerangan, menafikan bahawa kementeriannya telah 'menceroboh' bidangkuasa kementerian lain, terutama Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan Kementerian Air, Tenaga dan Komunikasi.
"Sebelum ini, kita mengawalselia televisyen dan radio tetapi ekoran pentadbiran dan pendekatan baru sebelum ini tidak ada stesen radio dan televisyen swasta maka kita tidak boleh menjadi pesaing dan pengawalselia (pada masa yang sama). Menyerahkan (bidangkuasa) pengawalselia dan peraturan kepada kementerian baru Kementerian Air, Tenaga dan Komunikasi adalah betul. Saya tidak nampak berlaku sebarang percanggahan," katanya.
Menurutnya, Kementerian Penerangan, yang ditugaskan untuk menyebarkan maklumat kerajaan, perlu menggunakan pelbagai medium seperti televisyen, radio, akhbar dan Internet supaya 'ia sampai' kepada rakyat.
"Kita akan memberitahu pihak akhbar supaya membantu kerajaan dan masyarakat bagi memastikan ia (keadaan) tidak bertambah buruk, sama ada ia mengenai soal keselamatan, hubungan kaum, ekonomi ataupun politik," katanya.
Chia juga berkata, Gerakan tidak berhasrat untuk mengikut jejak langkah rakan komponen dalam BN dengan memiliki pertubuhan media kerana ia membabitkan kos yang tinggi.
"Apabila sesuatu media itu dikenalpasti rapat dengan sesebuah parti politik...tidak kira bagaimana bebas dan objektif pun laporannya, anda tidak boleh lari daripada hakikat bahawa ianya dimiliki oleh parti politik," katanya.
"Kami lebih suka mempunyai kawan di semua tempat," katanya. Bahan asal
Bhgn 1: Chia: Berhenti berbalah seperti zaman sebelum merdeka

