Mahkamah Syariah ada bidangkuasa putuskan kes murtad
Mahkamah Tinggi Syariah Labuan memutuskan semalam bahawa ia mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan kes-kes membabitkan isu murtad.
Mahkamah Tinggi Syariah Labuan memutuskan semalam bahawa ia mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan kes-kes membabitkan isu murtad.
Hakim Syarie Husin Ahamad dalam penghakiman berkata, Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa itu berdasarkan peruntukan seksyen 46 Akta Pentadbiran Agama Islam 1993 untuk mendengar, membicara serta memutuskan perkara-perkara berkaitan masuk dan keluar dari agama Islam.
Keputusan tersebut dibuat mahkamah berkenaan semasa mendengar permohonan Kenneth Wong Chun Chiak, 39, untuk mendapatkan perintah pembatalan nama "Kenny bin Abdullah" dari senarai Daftar Perakuan Masuk Islam di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (JAIWPL).
Peguam Sharie Zulkifli Che Yong dan Azmi Datuk Dr Mohd Rais yang mewakili pemohon dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur berkata, Hakim Husin, dalam penghakimannya, menjelaskan walaupun dalam kes ini pemohon menyatakan dia telah keluar Islam berpandukan surat akuan berkanun, Mahkamah Syariah tetap memakai prinsip undang-undang untuk mendengar, meneliti, membicarakan bukti-bukti yang dibawa terlebih dahulu, sebelum memutuskan kes tersebut.
"Mahkamah merujuk kepada kes-kes duluan yang mana terdapat orang Islam menyatakan mereka keluar Islam dan mendedahkan cara hidup bukan Islam dengan memakan babi, minum arak, mereka tidak keluar Islam secara automatik sehingga dibicarakan dan diputuskan oleh Mahkamah Syariah," kata hakim itu.
Justeru, beliau berkata, Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa untuk mendengar kes ini setelah yakin bahawa pemohon telah memeluk Islam berdasarkan kad akuan memeluk Islam yang dikeluarkan pada 25 Jan 2001 oleh JAIWPL dengan nama Kenny bin Abdullah.
Ketepi permohonan
Menurut laporan Bernama, beliau bagaimanapun mengetepikan permohonan Kenneth@Kenny memandangkan ia tidak mematuhi prosedur kerana permohonan itu dibuat dalam bentuk Notis Permohonan dan Afidavit.
"Sewajarnya ia hendaklah dibuat dalam bentuk Saman dan Pernyataan Tuntutan. Mahkamah Syariah telah merujuk kepada seksyen 7 Akta Tatacara Mal Wilayah Persekutuan. Mahkamah ini sedia mendengar permohonan pemohon sekiranya dia berminat untuk memfailkannya semula," hakim itu dipetik sebagai berkata.
Hakim juga dipetik sebagai berkata, pemohon sepatutnya menamakan Majlis Agama Wilayah Persekutuan sebagai responden, seperti yang diperuntukkan dalam akta itu, dan bukannya Pendaftar Muallaf di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan, seperti yang dibuat dalam permohonan tersebut, jelas kenyataan itu.
Kenneth@Kenny dalam permohonannya mendakwa bahawa dia bukan lagi seorang yang beragama Islam berdasarkan Surat Sumpah yang telah dibuat pada 1 Mac lalu, dan bahawa dia adalah seorang penganut Kristian Roman Katholik.
"Saya memohon dari Mahkamah ini satu pengisytiharan untuk mengeluarkan nama Kenny bin Abdullah dari Pengiktirafan Muallaf Sebagai Orang Islam dari Daftar Muallaf, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan.
"Dengan pengisytiharan itu membolehkan hasrat saya untuk mendirikan rumahtangga dengan wanita bukan Islam di bawah Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dan saya boleh hidup bebas sebagai pengamal agama Kristian tanpa rasa bersalah dan takut," katanya dalam permohonan itu.
Responden diwakili peguam Ahmad Razali Isnin, sementara Penasihat Undang-undang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Eidey El Nimeiry Mokhtar dan Ridwan Abol turut hadir.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.