Nik Nazmi minta siasatan pada Anwar digugurkan
Tindakan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim memohon kebenaran semakan kehakiman terhadap pengisytiharan darurat kerajaan Perikatan Nasional tidak ada kaitan dengan pengisytiharan Yang di-Pertuan Agong, kata Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menurut pemimpin PKR itu, tindakan tersebut hanya tertumpu kepada nasihat yang diberikan kerajaan kepada Agong berhubng pengisytiharan darurat.
"Oleh itu, tuntutan itu dibuat terhadap kerajaan dan bukan kepada institusi beraja. Beberapa pemimpin lain turut memfailkan tuntutan yang sama berhubung pengisytiharan darurat,” ciapnya.
Justeru Nik Nazmi menyifatkan siasatan polis terhadap Anwar sebagai "tidak wajar dan tidak berasas."
Selain itu, dia turut menegaskan cabaran semakan kehakiman yang difailkan Anwar juga pernah dilakukan PAS berhubung pengisytiharan darurat di Kelantan pada 1977.
“Oleh itu, mahkamah perlu dibenarkan untuk menentukan merit bagi hujah-hujah perundangan tanpa sebarang campur tangan dari pihak lain.
“Sebagai warganegara Malaysia, Anwar berhak untuk mendapatkan penghakiman mahkamah untuk membetulkan kesalahan yang dipercayai telah berlaku.
"Menggunakan polis untuk menyiasat dan menakut-nakutkan ahli parlimen yang berkhidmat dan ketua pembangkang yang menjalankan tugasnya untuk semak imbang kerajaan adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi.
"Ini tetap berlaku walaupun dalam keadaan darurat," tambahnya.
Oleh itu, Nik Nazmi berkata siasatan terhadap Presiden PKR itu tidak wajar dilakukan dan perlu dibatalkan.
Pada 27 Jan lalu Anwar memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan menggantung parlimen dalam tempoh darurat.
Antara lain Anwar memohon deklarasi dari mahkamah bahawa nasihat perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung parlimen dalam tempoh darurat adalah bertentangan undang-undang dan tidak mengikut perlembagaan.
Terdahulu, Anwar mempertikaikan reaksi kerajaan terhadap permohonannya itu.
Dia mempersoalkan tahap kefahaman bahasa Melayu Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berikutan tindakan pihak berkuasa menyiasat dirinya kerana didakwa menghasut dan mengancam ketenteraman dalam negara.
Anwar juga bertanya sama ada setiausaha agung Bersatu itu ada membaca surat yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum dia memberikan kenyataan umum.

