Pemuda Gerakan melahirkan kekecewaan berikutan desakan pihak-pihak tertentu yang mahu Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang juga Timbalan Presiden parti itu meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Walaupun tidak menamakan pihak tertentu yang dimaksudkan, tetapi kenyataan Ketua Pemudanya Datuk Mah Siew Keong jelas merujuk kepada desakan pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang yang mahukan jawatan itu diserahkan semula kepada Umno.

"Sebenarnya, Koh telah bekerja keras untuk membangunkan PBAPP dan ia adalah antara perbadanan bekalan air yang termaju dalam negara kita.

"Sebelum ini pula, sudah ada desakan supaya adakan sistem penggiliran untuk jawatan Ketua Menteri. Kesemua ini bercanggah dengan semangat Barisan Nasional (BN) dan perlu dihentikan dengan segera," katanya mempertahankan Koh di persidangan Perwakilan Nasional Pemuda Gerakan Ke-19 di Menara PGRM di Kuala Lumpur.

Menurut laporan Bernama, persidangan sehari Pemuda dan Wanita Gerakan itu telah dirasmikan secara serentak oleh Dr Koh.

Serah jawatan

Isu PBAPP timbul apabila Ketua Umno Bahagian Bukit Mertajam, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir baru-baru ini telah mendesak supaya Koh melepaskan jawatannya dalam perbadanan itu dan menyerahkan kembali jawatan itu kepada Umno.

Musa mendakwa syarikat milik kerajaan negeri bukan sahaja mengetepikan profesional Melayu dalam perbadanan air itu, malahan dalam penstrukturan semula PBAPP, Koh juga telah menubuhkan anak-anak syarikat yang diketuai golongan bukan bumiputera.

Musa juga mendakwa PBA tidak mengutamakan syarikat Bumiputera dalam pemberian kontrak dan ia bercanggah dengan dasar kerajaan.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengulas perkara itu berkata desakan terbabit tidak mencerminkan kehendak pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang memandangkan Pemuda Umno dan Koh telah sama-sama setuju untuk mencari penyelesaian melalui saluran yang diwujudkan.

Koh sebelum ini turut melahirkan rasa kurang senangnya dengan desakan itu kerana ia seolah-olah menunjukkan terdapat perselisihan di kalangan parti-parti komponen BN.