Bekas pemimpin kanan Parti Komunis Malaya yang dibubarkan, Rashid Maidin meninggal dunia pada usia 89 tahun di Sisakoin, Narathiwat, selatan Thai Khamis.

Menurut seorang jurucakap tentera Thai, allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi kerana sakit tua di rumah anak perempuannya dan dikebumikan di situ selepas sembahyang Jumaat.

Rashid menyertai PKM pada 1951 dan menjadi anggota jawatankuasa pusat PKM bersama beberapa nasionalis Melayu seperti Ishak Haji Mohamad (Pak Sako), Ahmad Boestamam dan Abdullah C.D di Perak.

Menurut laporan Bernama, Rashid diberi kepercayaan oleh setiausaha dan pemimpin utama PKM, Chin Peng untuk memimpin Regimen ke-10 PKM di Bentong, Pahang.

Rashid yang dilahirkan pada 10 Oktober 1917 di Kampung Gunung Mesah, Gopeng, Perak, melarikan diri ke dalam hutan berhampiran sempadan Malaysia/ Thailand selepas diburu pihak berkuasa Malaysia.

Di situ, Rashid, yang sebelum itu telah berkahwin dan mempunyai seorang isteri di Gopeng, berkahwin dengan seorang gadis, ahli PKM bernama Latifah.

Rundingan damai

Beliau mula dikenali selepas muncul semasa Perundingan Damai di Baling, Kedah pada1955 di antara perwakilan kerajaan Malaya yang diketuai Ketua Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dengan PKM yang diketuai Chin Peng.

Rashid juga merupakan anggota dalam delegasi PKM ke British Empire Communist Parties Conference 1947 di London.

Pada tahun 1989, beliau turut serta semasa rundingan damai 1989 di Hatyai antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand yang membawa kepada penamatan perjuangan bersenjata PKM.

Selepas perjanjian dengan kerajaan Malaysia di Hatyai itu, Rashid menetap di perkampungan yang dinamakan "Perkampungan Malaysia" di sempadan Thailand Selatan.

Memoir Rashid Maidin "Daripada Perjuangan Bersenjata Kepada Perdamaian" yang merupakan koleksi peribadi Rashid, menunjukkan beliau fasih tiga bahasa.