Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
120 kereta buggy Kelab Golf Seriemas musnah terbakar
Diterbitkan:  Feb 4, 2021 12:07 PM
Dikemaskini: 4:07 AM

Sebanyak 120 kereta bugi (buggy) musnah dijilat api dalam kebakaran membabitkan kawasan penyimpanan kereta bugi di Kelab Golf Seriemas, di Nilai awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata bomba menerima laporan kejadian itu pada kira-kira 2.37 pagi.

Beliau berkata susulan laporan, dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Water Tanker bersama 35 pegawai dan anggota dari tiga balai iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Mantin dan Seremban 2, dikerah ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada 3.23 pagi dan punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan. Tiada mangsa dilaporkan cedera,” katanya dalam kenyataan di Nilai hari ini.

Sementara itu, pengawal keselamatan kelab golf berkenaan, Shamrasizu Shamsuddin yang merupakan saksi kejadian berkata beliau terdengar letupan kuat di bahagian tingkat bawah kelab golf semasa membuat rondaan awal pagi tadi.

“Saya bersama rakan sekerja telah melakukan pemeriksaan lanjut dan mendapati api mula marak di bahagian tingkat bawah bangunan.

“Api merebak dengan pantas dan kawasan itu dipenuhi dengan asap tebal. Saya dalam keadaan cemas terus memaklumkan kepada penyelia saya yang kemudian bertindak menghubungi talian kecemasan MERS999,” katanya kepada pemberita di Nilai hari ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS