Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selaku wakil rakyat, Annuar mengaku malu dengan Ebit Lew

Saya rasa malu sebab saya wakil rakyat, dan saya tidak dapat buat sebanyak yang dia buat,” kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa ketika mengulas mengenai pendakwah Ebit Lew yang dilihat pantas dalam melakukan kerja amal dan sumbangan.

Annuar berkata pendakwah itu adalah antara individu yang beliau ingin bertemu bagi berkongsi perkara berkaitan kebajikan dan sumbangan kepada rakyat yang mungkin boleh dipelajari daripadanya.

“Mungkin saya berbeza pandangan sedikit, peranan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) lain dan peranan kerajaan lain, tetapi dalam masa yang sama kita (pemimpin) harus ada perasaan malu, bukan malu dalam bentuk yang negatif, malu positif.

“Ini kerana orang yang tiada kuasa macam beliau (Ebit Lew) sanggup berbuat lebih, bagaimana kita orang yang ada kuasa, kita tidak berbuat cukup,” katanya dalam program Bicara Minda secara maya anjuran Sinar Harian malam ini.

Bagaimanapun, menteri itu berkata tanggungjawab kerajaan tidaklah serupa dengan tanggungjawab NGO kerana kerajaan juga perlu menumpukan untuk merangka dasar yang baik.

Selain itu beliau berkata kerajaan juga perlu mengadakan agenda dan program yang mungkin tidak dilihat oleh rakyat sekarang tetapi hasilnya akan dapat dilihat dalam tempoh jangka masa lebih panjang.

“Kalau ada sesuatu masalah kita turun dan selesaikan, itu pun penting tapi sebagai kerajaan terutamanya kita harus memikir jauh daripada itu.

“Jadi kalau tidak nampak turun (padang) bukan bermakna kerajaan tidak berfungsi, tetapi adalah lebih baik kalau kita menguruskan kerajaan dari segi pelaksanaan dasar yang baik sementara kita juga terus menjadi sebuah kerajaan yang prihatin dan cakna kepada permasalahan rakyat,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS