mk-logo
Berita
Bomba ambil masa enam jam padam kebakaran 7.3 hektar hutan
Diterbitkan:  Feb 5, 2021 4:18 AM
Dikemaskini: 4:18 AM

Kira-kira 7.3 hektar kawasan hutan di Jalan Chee Seng, Tanjung Bungah di George Town, terbakar dalam kejadian petang semalam dan pihak bomba mengambil masa lebih enam jam untuk memadamkannya.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal Wan Chik Ariffin Mohd Ismail berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada 4.42 petang memaklumkan kebakaran itu sebelum pihaknya tiba di lokasi kebakaran 10 minit kemudian.

“Sebaik tiba, kami mendapati kebakaran itu melibatkan tiga bahagian di kawasan hutan yang membabitkan keluasan kira-kira 7.3 hektar itu, dan seramai 50 pegawai serta anggota bomba terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Chik Aiffin berkata pasukan bomba perlu berjalan kaki ke lokasi kebakaran, kerana ia adalah kawasan berbukit dan pihaknya turut berdepan kesukaran dalam menjalankan kerja pemadaman berikutan keadaan tanah yang tidak rata.

Beliau berkata pihaknya mengambil masa lebih enam jam untuk memadamkan kebakaran itu dan kerja pemadaman dilakukan dengan menggunakan pemerap api dan 'jet shooter'.

Wan Chik Ariffin berkata kebakaran itu berjaya dikawal pada 9.41 malam serta api dipadamkan kira-kira sejam kemudian, dan punca kebakaran masih disiasat pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang.

“Pasukan bomba membuat 'size up' dan kerja mengawal dan memadam dengan menggunakan alatan khas, ‘Forest Fire’ mengikut bahagian yang terbakar, bagi memastikan api tidak terus merebak ke kawasan hutan di situ,” katanya.

Katanya kerja- kerja 'overhaul' juga telah selesai dijalankan malam tadi dan operasi pemadaman itu tamat pada pukul 11.30 malam.

Beliau berkata tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran itu dan kerja pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Mount Erskine, Paya Terubong dan Bukit Bendera.

- Bernama

Lihat Komen
Paling Popular
Terkini