Rakyat, khususnya elemen-elemen Reformasi sama ada parti politik mahupun badan bukan kerajaan (NGO) diminta jangan terperangkap dengan 'drama politik' Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Ezam Mohd Noor berkata, rakyat harus memahami dan memperhalusi asas pertembungan kedua-dua pemimpin Umno itu.

"Jangan terikut-ikut dengan rentak mereka sehingga akhirnya dipergunakan untuk kepentingan mereka. Saya merayu agar jangan dikorbankan kepentingan rakyat semata-mata untuk meraih keuntungan jangka pendek kelompok tertentu. Reformasi menyeluruh mesti diutamakan.

"Kita mesti melakukan segala yang terdaya bagi memastikan pemenang sebenar dalam pertembungan ini adalah rakyat. Kita mahu natijahnya adalah perubahan berkekalan yang menguntungkan negara dan rakyat. Asas perjuangan kita tidak seharusnya untuk menyokong

individu dan kepentingan sempit mereka," katanya semsa berucap di Kongres Nasional Angkatan Muda PKR di Pulau Pinng hari ini.

Menurutnya, antara Abdullah dan Dr Mahathir tidak ada bezanya kerana mereka beroperasi menggunakan sistem yang sama dengan keutamaan yang sama iaitu menguntungkan diri sendiri, keluarga dan kroni.

"Adalah amat malang jika kita membiarkan episod pertembungan Abdullah-Mahathir ini menguasai gelanggang tengah kehidupan kita. Lebih malang jika kita buta bahawa membina institusi yang adil dan telus adalah lebih utama daripada membina jambatan herot," ujarnya.

Ezam menegaskan, gerakan Reformasi didukung bukan kerana individu tetapi kerana mahu memerangi penyelewengan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Kita menyebelahi Anwar Ibrahim ketika beliau menghadapi serangan Mahathir Mohamad adalah kerana kepentingan rakyat terbanyak. Rekod Anwar Ibrahim dan komitmen beliau membela rakyat begitu terserlah. Justeru apabila beliau menghadapi masa-masa yang sukar

maka sudah tentu rakyat yang menjulang beliau kembali.

Bela kepentingan rakyat

"Ini rakyat lakukan kerana sedar Anwar Ibrahim adalah pilihan yang terbaik untuk memimpin Malaysia ke arah masa depan yang lebih baik," tambahnya.

Beliau mendakwa perjuangan BN mencabul hak rakyat dan oleh itu, PKR harus menentangnya untuk membela kepentingan rakyat.

"Kita sedar ketegasan kita ini mungkin mengundang padah. Sejak hari pertama kita melangkah ke alam perjuangan ini kita sedar. Adalah menjadi hukum alam kelompok yang berjuang demi keadilan dan kebenaran pasti akan bertembung dengan kelompok yang memperjuangkan kepentingan peribadi sehingga sanggup mencabul hak rakyat," tambahnya.

Ezam juga menegaskan, PKR akan terus berusaha membentuk kerajaan melalui jalan pilihanraya,

meskipu.sering ditohmah dengan pelbagai fitnah sebagai bersikap militan, merancang untuk menggulingkan kerajaan dengan cara kekerasan dan berhasrat menimbulkan huru-hara.

"Segala tohmahan itu ternyata semuanya dusta yang berniat jahat. Kerana itu kita perlu terus-terusan meyakinkan seberapa ramai rakyat akan kemampuan dan keupayaan kita.

"Ini perlu kita zahirkan dalam bentuk kemenangan pilihanraya bagi membolehkan kita membentuk kerajaan dan melaksanakan janji-janji kita kepada rakyat.

"Selaku sebuah parti politik sudah tentu kita bercita-cita untuk membentuk kerajaan melalui

pilihanraya. Semua kita adalah demokrat dan pegangan teguh kita kepada demokrasi sebagai wahana perjuangan adalah jelas,"tambahnya.

Katanya lagi, rakyat harus tahu bahawa parti ini bukan sekadar pembangkang. Parti ini bersedia pada bila-bila masa untuk memikul amanah mentadbir negara. Yang kita tunggu hanya mandat rakyat melalui pilihanraya untuk membentuk kerajaan," katanya.