Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: Serangan pada PM di media sosial mungkin luahan emosi

Tindakan warga maya mengecam Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sejak kebelakangan ini mungkin sekadar luahan emosi masing-masing, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pun begitu ahli parlimen Kubang Kerian itu berpendapat sebahagian daripada serangan dan 'analisa' yang dibuat orang ramai itu "mungkin ada benarnya".

"Soal serangan-serangan dan analisa yang dibuat itu sebahagiannya mungkin ada benar, yang perlu kerajaan ambil perhatian, tapi sebahagiannya mungkin kerana luahan emosi masing-masing," katanya.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Kit Gunting Rambut dengan kerjasama Persatuan Tukang Gunting Kelantan di Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini.

Menteri alam sekitar dan air itu berkata demikian sebagai mengulas tindakan ramai pengguna media sosial menghantar komen-komen negatif dan berbaur sindiran ketika presiden Bersatu itu melawat Jakarta semalam.

Mereka juga meluahkan rasa marah dan tidak puas hati terhadap kerajaan Perikatan Nasional serta Muhyiddin menerusi ruangan komen di akaun Facebook Istana Negara. 

Dalam satu hantaran yang memuat naik gambar Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong kelmarin, rata-rata warga maya menggunakan platform media sosial untuk mengadu kesukaran mereka sewaktu pandemik Covid-19 dan tidak kurang juga yang “menyerang” pentadbiran Muhyiddin.

Keadaan sama turut dilakukan menerusi Facebook Presiden Indonesia Joko Widodo ketika memuat naik gambar lawatan Muhyiddin ke negara itu.

Sementara itu Tuan Ibrahim menyifatkan lawatan pertama Muhyiddin ke Indonesia itu atas kapasitinya sebagai perdana menteri memberi perkembangan positif.

"Saya tengok lawatan beliau yang penuh dengan SOP yang dijaga, kemudian balik pun dia kena kuarantin dan sebagainya.

"Sebagai perdana menteri biasanya negara jiran dulu akan dilawati.

"Isunya kita tengok apa yang dibincangkan melibatkan dua hala dan ini sedikit perkembangan yang positif walaupun dalam tempoh Covid-19 tanggungjawab tetap dilaksanakan," katanya.

Lihat Komen
ADS