Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari Jumaat mengumumkan bajet tahun depan yang mengandungi bukan saja tarikan untuk meningkatkan daya saing negara dalam bidang perniagaan tetapi juga beberapa langkah untuk mengurangkan beban rakyat.

Dalam perkataan lain, setiap lapisan masyarakat menikmati sesuatu daripada pelan tindakan kerajaan ini untuk memacu pelaksanaan Misi Nasional ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020.

Ini termasuk pengurangan cukai korporat secara berperingkat sebanyak dua mata peratusan daripada 28 peratus kepada 27 peratus bagi tahun penilaian 2007 dan 26 peratus pada 2008, penghapusan yuran peperiksaan sekolah dan bantuan agar 31,000 mahasiswa menganggur mendapat pekerjaan.

Rangsangan lain termasuk bonus antara satu dan dua bulan untuk kakitangan kerajaan, pinjaman perumahan lebih tinggi juga kepada kakitangan kerajaan, pembinaan lebih banyak rumah untuk golongan berpendapatan rendah dan dana untuk menggiatkan lagi sektor pertanian.

Seramai 146,000 kakitangan kerajaan yang tinggal di kuarters kerajaan akan juga diberi elaun sara hidup (COLA) yang sebelumnya diberikan kepada mereka yang tidak mendiami premis itu. Mereka yang tinggal di kuarters akan dibayar separuh kadar COLA.

Menurut laporan Bernama, ketika membentangkan Bajet 2007 di Dewan Rakyat, Abdullah yang juga Menteri Kewangan, berkata wanita diberi subsidi RM50 bagi setiap ujian saringan yang dibuat di klinik dan hospital swasta.

Belajar bahasa Cina, Tamil

Bagi membantu golongan kurang upaya pendengaran dan pertuturan berkomunikasi, beliau mengumumkan bahawa program khusus akan diadakan untuk melatih lebih ramai jurubahasa isyarat di sekolah pendidikan khas manakala elaun bulanan 9,000 kanak-kanak OKU dinaikkan kepada RM50 daripada RM25 sebulan.

Bagi meningkat lagi bilangan pelajar di sekolah kebangsaan, mata pelajaran bahasa Cina akan diajar sepenuhnya di 150 sekolah kebangsaan dan bahasa Tamil di 70 sekolah kebangsaan tahun depan.

Kerajaan akan membina 30,000 buah rumah menerusi projek perumahan rakyat manakala Syarikat Perumahan Negara Bhd akan membina 34,000 rumah mampu milik.

Sebanyak 2,000 rumah terbengkalai akan dipulihkan manakala 2,500 lagi dibina menerusi program "Rumah Mesra Rakyat".

Sebanyak RM2.2 bilion pula disediakan untuk membina 46,000 unit kuarters kerajaan manakala RM125 juta diperuntukkan bagi membina hospital baru di Shah Alam, Pendang di Kedah dan Permai di Johor.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan RM159.4 bilion disediakan untuk Bajet 2007 berbanding RM137 bilion pada 2006.

Ramal inflasi stabil

Daripada jumlah itu, peruntukan bagi perbelanjaan mengurus bertambah 11.6 peratus kepada RM112.9 bilion manakala dana bagi perbelanjaan pembangunan naik 31 peratus kepada RM46.5 bilion.

Perdana Menteri melahirkan rasa keyakinan ekonomi Malaysia akan tumbuh 6.0 peratus tahun depan daripada 5.8 peratus tahun ini, dengan inflasi diramal pada paras stabil.

Perdana Menteri berkata kedudukan kewangan kerajaan pusat bertambah kukuh berikutan peningkatan hasil terutamanya hasil berasaskan petroleum termasuk dividen lebih tinggi daripada Petronas.

"Ini membolehkan kerajaan menambah perbelanjaan bagi terus menggalak dan menyokong aktiviti pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Abdullah berkata defisit belanjawan akan berkurangan kepada 3.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar daripada 3.5 peratus tahun lepas.

Pelaburan swasta dijangka mantap dengan pertumbuhan 10.5 peratus manakala pelaburan awam terus berkembang pada lapan peratus berikutan peningkatan ketara 32.4 peratus pelaburan kerajaan persekutuan.

Subsidi minyak

Sektor pembuatan dijangka terus mencatat pertumbuhan kukuh pada 6.8 peratus, sektor perkhidmatan termasuk ICT, pelancongan dan pendidikan pada 6 peratus, pertanian 4.7 peratus dan pembinaan 3.7 peratus.

Bagi membendung inflasi, kerajaan menanggung subsidi minyak dan kehilangan cukai yang dijangka berjumlah RM19 bilion tahun ini, lebih tinggi daripada RM16 bilion pada tahun 2005.

Berasaskan andaian harga minyak dalam lingkungan US$70 setong pada tahun depan, jumlah subsidi minyak ini dijangka kekal RM19 bilion.

Daripada anggaran perbelanjaan pembangunan, jumlah terbesar sebanyak RM20.8 bilion adalah untuk sektor ekonomi yang meliputi pertanian, industri dan infrastruktur.

Sebanyak RM14.2 bilion adalah untuk sektor sosial termasuk pendidikan, kesihatan dan perumahan manakala sektor keselamatan diperuntukkan RM6.8 bilion.

Bagi mengurangkan kos menjalankan perniagaan, syarikat modal teroka yang melabur sekurang-kurang 50 peratus daripada dana pelaburannya dalam "seed capital" akan diberi pengecualian cukai selama 10 tahun,

Bayaran zakat

Zakat yang dibayar oleh koperasi dan badan amanah sehingga 2.5 peratus daripada pendapatan agregat mereka akan diberikan potongan cukai.

Selain projek bernilai RM20 bilion yang dilaksanakan menerusi Inisiatif Pembiayaan Persendirian (PFI), satu Tabung Kemudahan PFI bernilai RM5 bilion akan dibentuk.

Abdullah berkata RM3.6 bilion akan dibelanja untuk memajukan sektor pertanian dalam usaha menjadikannya lebih moden, bersifat komersial dan berdaya saing.

Katanya RM40 juta disediakan bagi melaksanakan projek "Beef Valley" di Gemas, Negeri Sembilan, manakala RM92 juta diperuntukkan bagi projek seperti kluster ikan hiasan di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis serta pusat penyelidikan ikan air tawar di Negeri Sembilan.

Abdullah berkata memandangkan tanaman tembakau tidak lagi menguntungkan, khusus di Kelantan, petani akan diberi kemudahan pembiayaan oleh Bank Pertanian untuk mengusahakan tanaman lain atau melibatkan diri dalam industri lain untuk memperoleh pendapatan.

Untuk membasmi kemiskinan tegar, RM578 juta disediakan untuk mempercepatkan program dan projek yang akan memberi manfaat kepada 110,000 peserta manakala RM144 juta akan digunakan untuk memajukan lagi masyarakat Orang Asli.

Ladang baru

Abdullah berkata RM90 juta disediakan untuk membeli atau membuka ladang-ladang baru.

Bagi memajukan kawasan luar bandar, RM3.4 bilion disediakan, dengan RM780 juta digunakan untuk membina jalan luar bandar, RM251 juta bagi bekalan air dan RM200 juta bagi bekalan elektrik. KEMAS diperuntukkan RM615 juta untuk mengendalikan program prasekolah, kegiatan kemasyarakatan dan latihan kemahiran.

Dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah Pusat Kewangan Islam Antarabangsa utama, semua entiti perbankan Islam dan takaful yang menjalankan urusan mereka dalam mata wang asing, akan diberi pengecualian cukai selama 10 tahun.

Pengurus dana tempatan dan asing yang mengendalikan dana Islam untuk pelabur asing akan diberi pengecualian cukai selama 10 tahun manakala potongan cukai akan diberikan terhadap kos menubuhkan syarikat broker saham Islam.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga mencadangkan supaya dividen yang diterima oleh pelabur individu tempatan dan asing dan unit amanah tempatan daripada Amanah Pelaburan Hartanah (REITS) dikenakan cukai pada 15 peratus dan pelabur institusi asing pada 20 peratus untuk lima tahun.

Untuk menggalakkan bank meluaskan operasi sebarang laut mereka dan menubuhkan cawangan serantau, kerajaan mencadangkan agar bank-bank Malaysia diberi pengecualian cukai bagi pendapatan yang diperoleh daripada cawangan-cawngan baru atau terimaan dari anak syarikat mereka di sebarang laut, yang beroperasi dalam tempoh tiga tahun.

Industri halal

Sebanyak RM210 juta disediakan bagi memajukan bioteknologi selain sebagai insentif bagi syarikat-syarikat dalam sektor ini.

Untuk mempertingkatkan lagi industri halal, Perdana Menteri berkata RM50 juta akan digunakan untuk mewujudkan taman halal di Pasir Mas di Kelantan, Gambang di Pahang, Chendering di Terengganu dan Padang Besar di Perlis.

"Bank SME diperuntukkan RM20 juta untuk membantu usahawan memajukan produk mereka," katanya.

Sebagai langkah meningkatkan pemilikan komputer, tempoh kelayakan bagi insentif membeli komputer yang kini diberi sekali dalam lima tahun, dipendekkan kepada tiga tahun manakala rebat cukai RM500 digantikan dengan relif cukai RM3,000.

Bagi menggalakkan syarikat-syarikat tempat melabur di sebarang laut, kerajaan akan menaikkan modal berbayar EXIM Bank sebanyak RM2 bilion kepada RM2.7 bilion bagi membolehkannya menambah pemberian pinjamannya kepada RM6.5 bilion daripada RM3.7 bilion sebelum ini.

Dalam bidang pelancongan pula, RM149 juta disediakan untuk mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2007 manakala pengusaha pelancongan akan diberi pengecualian cukai bagi pakej pelancongan yang membawa masuk sekurang-kurangnya 500 pelancong setahun.

Sebanyak RM27.5 bilion disediakan dalam sektor pembinaan bagi projek-projek yang termasuk jalan raya, kuarters dan kemudahan infrastruktur manakala RM1 bilion disediakan untuk tujuan penyelenggaraan.

Latihan guru

Di bidang pendidikan, Abdullah berkata RM782 juta diperuntukkan untuk latihan guru manakala RM101 juta akan digunakan untuk membina 67 projek perumahan guru khususnya di luar bandar.

"Kerajaan akan memastikan pelajar yang mendapat 10 A1 dalam SPM atau setaraf dari keluarga berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan, akan diberikan biasiswa melanjutkan pelajaran," katanya.

Untuk menggalakkan tabiat membaca dan pembelajaran sepanjang hayat, kerajaan menaikkan relif cukai pembelian buku kepada RM1,000 setahun daripada RM700.

Kesemuanya RM33.4 bilion disediakan untuk bidang pendidikan, RM6.7 bilion daripadanya untuk pendidikan rendah, RM6.2 bilion untuk pendidikan menengah, RM10.4 bilion bagi pendidikan tinggi dan RM10.1 bilion untuk program latihan.

Mengenai belia, Perdana Menteri berkata RM91 juta akan dibelanjakan untuk sukan dan program latihan termasuk menyediakan biasiswa kepada atlet berpotensi.

Dalam usaha mengurangkan jurang antara wilayah, Abdullah berkata, Koridor Ekonomi Utara meliputi Kedah, Perlis, Seberang Perai dan Perak Utara mempunyai potensi besar dimajukan untuk pelbagai aktiviti ekonomi tertentu.

Naik taraf jalan

Abdullah juga berkata kawasan sempadan di Pantai Timur seperti Tok Bali-Besut dan Kemaman-Cherating akan dimajukan, kebanyakannya dalam industri hiliran berdasarkan petrokimia, kraf tangan dan pelancongan.

Bagi Sarawak, projek yang akan dilaksanakan termasuk menaik taraf Jalan Kuching-Sibu dari Simpang Julau ke Sibu, membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, membina Jalan Sibu-Bawang-Assan-Seredeng dan Pelabuhan Perikanan Laut Dalam Bersepadu Tanjung Manis serta juga industri kluster berdasarkan minyak sawit.

Di Sabah, antara projek utama ialah pembinaan Jalan Sapulut-Kalabakan, menaik taraf lapangan terbang Kota Kinabalu dan Labuan selain keretapi Sabah.

Sebagai sebahagian daripada langkah melindungi alam sekitar, sebanyak RM1 bilion akan digunakan untuk program seperti memulihara imbangan ekologi manakala RM716 juta diperuntukkan bagi projek tebatan banjir.

Dalam bidang keselamatan, RM4.9 bilion disediakan untuk menjadikan pasukan polis lebih cekap termasuk memasukkan CCTV di kawasan yang sering berlaku jenayah dan menambah 2,000 lagi kereta peronda.

Perdana Menteri berkata bagi menghargai bidang seni, budaya dan warisan, sebanyak RM865 juta disediakan untuk tujuan promosi selain membina taman budaya negeri di Sabah dan Kelantan, membaik pulih Bangunan Sultan Abdul Samad di sini dan menubuhkan Muzium Sutera di Chendering, Terengganu.