Khairy terus dikecam...kali ini oleh Gerakan
Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin sekali lagi menjadi sasaran kali ini sasaran Pemuda dan Wanita Kebangsaan Gerakan yang bersidang di Kuala Lumpur hari ini.
Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin sekali lagi menjadi sasaran kali ini sasaran Pemuda dan Wanita Kebangsaan Gerakan yang bersidang di Kuala Lumpur hari ini.
Khairy, yang juga menantu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, telah mencetus kontroversi apabila beliau mengingatkan bahawa masyarakat Cina akan mengambil kesempatan jika Umno lemah.
Kenyataan itu dikecam hebat oleh para perwakilan di perhimpunan agung MCA baru-baru ini, apabila Naib Ketua Pemuda Umno itu enggan memohon maaf terhadap kenyataannya itu.
Pengerusi Wanita MCA, Datuk Tan Lian Hoe merujuk secara tidak langsung terhadap Khairy dalam ucapannya dengan menggunakan perkataan 'muda' dan 'pemimpin masa depan' dalam ucapannya.
Katanya, terdapat seorang pemimpin muda dalam parti komponen BN yang membangkitkan isu sensitif dan isu perkauman untuk menjadi wira demi kepentingan politiknya.
Tindakan itu, katanya, telah mencetuskan kemarahan dan rasa tidak senang di kalangan anggota masyarakat.
Oleh itu, katanya, tindakan seumpama itu mesti dihentikan segera dan rasa hormat bukan sahaja untuk Umno tetapi juga kepada semua parti komponen.
'Hero sebenar'
Tan kemudiannya menggesa rakyat supaya menolak pemimpin seumpama itu, sambil menambah mereka tidak sepatutnya diberi sebarang tempat dalam barisan kepimpinan BN.
Ketua Pemuda Gerakan, Datuk Mah Siew Keong juga secara tidak langsung mengecam Khairy semasa menyampaikan ucapannya dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan Mandarin.
Katanya, pemimpin masa depan mesti mengetahui sensitiviti dan sentimen semua kaum di negara ini apabila membuat komen mengenai isu-isu perkauman, dan tidak mengambil mudah perkara mengenai masa depan masyarakat.
Beliau bersetuju bahawa adalah adil untuk seseorang itu membela bangsanya tetapi pada masa yang sama, dia tidak boleh menyakit hati kaum lain.
Bagi Mah, wira sebenar adalah wira bagi semua anggota masyarakat dan beliau tidak menganggap orang yang memainkan sentimen perkauman sebagai seorang wira.
Mah mengakui bahawa ada ketikanya Pemuda Gerakan 'tidak bertentang mata' dengan Pemuda Umno.
"Di peringkat nasional, secara jujur saya katakan Pemuda Gerakan pernah bercanggah pendapat dengan beberapa pemimpin dari Pemuda Umno mengenai sesetengah isu," katanya.
Tetapi, katanya, apa yang lebih penting ialah mereka masih boleh duduk semeja untuk berbincang (perkara seumpama itu).
Permintaan untuk Hisham
Mah kemudian memujui Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam Mandarin .
Beliau meminta para perwakilan memberi tepukan gemurah kepada Hishammuddin kerana meluangkan masa untuk menghadiri perasmian persidangan tersebut sebagai tanda hormatnya kepada Gerakan.
Beliau kemudiannya meminta agar Hishammuddin membawa Pemuda Umno ke arah kesederhanaan, tidak membangkitkan isu-isu perkauman serta menyumbang kepada kaum-kaum yang lain.
Hishammuddin yang duduk di barisan VIP, kelihatan terpinga-pinga sejenak apabila namanya disebut serta tepukan gemuruh para perwakilan, lalu melihat ke arah Mah.
Mah kemudiannya secara berseloroh berkata: "Inilah Gerakan. Kami memuji anda dalam bahasa lain, supaya anda tidak tahu."
Beliau kemudiannya menjelaskan dalam bahasa Melayu bahawa beliau (Hishammuddin) diminta supaya bersikap adil terhadap setiap masyarakat di negara ini.
Persidangan perwakilan Gerakan selama tiga hari ini yang bermula hari dengan mesyuarat Pemuda dan Wanita parti tersebut akan berlangsung sehingga Ahad ini. Berita asal

